SEPANG - Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin mencadangkan kes kontroversi pelantikan Menteri Besar Perlis dibawa ke mahkamah.

Beliau mengakui mengikuti dengan penuh minat perkembangan yang berlaku di negeri Perlis itu.

“Pada mulanya saya tak bercadang langsung untuk bagi pandangan. Namun, sebagai seorang yang ada sedikit latar belakang undang-undang dan memegang prinsip keadilan dalam al-Quran sepertimana dalam surah al-Maidah (5:8), saya terpanggil untuk beri kenyataan.

“Saya membaca kenyataan Raja Perlis dan Pengerusi BN Perlis. Dua-duanya, bagi saya, ada merit. Pengerusi BN, bagi saya...yang saya faham, lebih mahukan prinsip raja berperlembagaan dikekalkan. Raja Perlis pula, yang saya faham, mahukan seorang MB yang benar benar bebas (truly independent ),” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, beliau mengesyorkan kes tersebut dibawa ke mahkamah untuk diselesaikan.

“Tafsiran mana yang lebih betul dan tepat? Jika saya boleh syorkan, saya cadangkan kes ini dibawa ke mahkamah. Bagi saya, ‘the proper remedy’ adalah kena pohon perintah deklarasi dan perintah ‘writ of quo warranto’ melalui semakan kehakiman macam kes Perak dulu.

“Adakah ‘karma’ kes Perak dulu kini berulang? ALLAH lebih tahu,” katanya.

Media terdahulu melaporkan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, baginda tidak melantik Adun Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang dinamakan sebagai calon Menteri Besar sebelum ini, kerana bimbang pentadbiran kerajaan negeri menjadi boneka kepada pihak lain.

Baginda bertitah, kebimbangan itu terbukti apabila sembilan Adun BN tidak hadir semasa Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Watikah Menteri Besar, meskipun jemputan telah diberikan sejak dua hari lalu.