KAPAR - Enam buah rumah terkesan akibat kejadian banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan termasuk di Jalan Benteng, Jalan Kenangan, Taman Daya Maju serta Taman Daya Meru, hari ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, kejadian banjir berkenaan berlaku akibat hujan lebat serta keadaan Sungai Kapar yang tidak dapat menampung jumlah kapasiti air yang banyak.

"Skuad Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor membuat pemantauan darat dan juga udara di sekitar lokasi kejadian dan hasil dari pemantauan darat, masih terdapat takungan air di laman rumah mangsa (dalam proses surut).

Sungai Kapar melimpah memasuki kawasan penempatan penduduk.

"Punca berlakunya banjir kilat akibat hujan lebat dalam jangka masa singkat serta Sungai Kapar yang kecil tidak dapat menampung kapasiti air tinggi lalu melimpah ke kawasan penempatan.

"Dianggarkan kira-kira enam buah rumah yang terkesan banjir kilat namun situasi dalam keadaan terkawal dan tiada pusat pemindahan dibuka setakat ini," katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, setakat ini keadaan air hanya memenuhi kawasan kediaman rumah terlibat dan tidak memasuki rumah dan kerja-kerja pengepaman air keluar sedang giat dijalankan oleh pihak berwajib.