SHAH ALAM - Seramai 32 atlet Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang meraih pingat di Sukan Sea dan Sukan Universiti Dunia diraikan di Intekma Resort Shah Alam malam ini.

Atlet-atlet tersebut meraih pingat dalam pelbagai acara yang dipertandingkan termasuklah perahu layar, hoki, ragbi, bola sepak, gimnastik, menembak, boling padang dan lain-lain lagi.

Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata kejayaan meraih keseluruhan sembilan emas, tujuh perak dan lapan gangsa daripada atlet universiti ini adalah satu pencapaian yang cukup membanggakan dan wajar diberi penghargaan.

"Penglibatan dan kejayaan para atlet ini amat membanggakan UiTM selaras dengan hasrat universiti untuk melahirkan lebih ramai 'the thinking athlete' yang dapat meningkatkan mutu sukan negara ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Dalam majlis itu, atlet UiTM yang meraih pingat emas telah menerima insentif RM1,000 manakala pemenang pingat perak dan gangsa masing-masing menerima RM750 dan RM500.