PUNCAK ALAM – Tiga lelaki termasuk dua warganegara Thailand yang aktif menjalankan aktiviti mengutip derma di dua pasar malam diselamatkan Pejabat Kebajikan Masyarakat (PKM) Daerah Kuala Selangor dalam satu operasi bersepadu.

Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Penguatkuasaan dan Perundangan PKM Kuala Selangor, Mohd Fuad Nordin berkata, operasi itu dilaksanakan selepas menerima aduan orang ramai.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati tiga lelaki terbabit dipercayai aktif mengutip derma secara sukarela bagi badan bukan kerajaan (NGO) untuk pembinaan maahad dan masjid.

“Mereka dibawa ke Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor (PAIDKS) untuk tindakan lanjut kerana bagi kes kutipan derma tanpa kebenaran adalah bidang kuasa PAIDKS.

“Manakala bagi kes pengemis dan orang papa, PKM akan ambil tindakan,” katanya selepas operasi bersepadu di Pasar Malam Puncak Alam dan Saujana Utama.

Mohd Fuad berkata, PKM akan mengambil tindakan menyelamat individu yang terlibat, memberi amaran dan mengenakan tindakan mengikut akta berkaitan.

“Usaha berterusan ini bertujuan untuk membanteras gejala pengemis dan aktiviti kutip derma tanpa lesen yang dikesan aktif di beberapa pasar malam di daerah ini.

“Kami mahu pastikan kes sebegini tidak berulang lagi supaya kawasan tumpuan ini bebas daripada pengemis, orang papa dan individu mengutip derma tanpa kebenaran.

“Operasi sama bersama agensi penguat kuasa berkaitan akan diteruskan lagi pada masa akan datang sekiranya menerima aduan berulang,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Penolong Pegawai Penguatkuasaan Agama PAIDKS, Muhammad Jaafar berkata, operasi bersepadu dilaksanakan di bawah  Seksyen 106 (1), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Operasi ini membabitkan kutipan derma tanpa tauliah yang mana dilihat banyak sindiket membabitkan aktiviti ini secara terbuka di kawasan awam seperti pasar malam.

“Seorang lelaki Melayu berusia 60-an bersama dua lelaki warganegara Thailand diminta hadir ke pejabat agama untuk siasatan lanjut memandangkan mereka tiada kebenaran untuk mengutip derma secara terbuka.

“Saya juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menggalakkan aktiviti derma ini dengan menyumbangkan dana dan jika mahu menderma, boleh terus ke masjid yang ingin dibantu kerana di sana ada tabung disediakan.

“Saya bimbang aktiviti ini sebahagian modus operandi sindiket yang ambil kesempatan terhadap keprihatinan rakyat negeri ini, khususnya warga Kuala Selangor,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.