SUBANG – Masalah air keluar dari celah dinding sejak unit rumah diduduki pada tahun 2007 masih belum selesai menyebabkan pemilik rumah di Pangsapuri Sri Galaksi, Subang Bistari U5 dekat sini berang.

Dakwa penduduk, aduan yang dibuat kepada pemaju tidak pernah diberi perhatian menyebabkan mereka nekad membawa perkara ini ke tengah termasuk mengambil tindakan undang-undang jika masalah itu tidak selesai.

Menurut pemilik rumah bermasalah, Henry Saman, 33, berkata masalah dipercayai berpunca daripada kebocoran bumbung di unit rumahnya tiga tahun lalu yang ketika itu masih di bawah jaminan.

“Bila aduan dibuat pemaju ada hantar wakilnya datang untuk periksa dan berjanji akan mengatasi segera masalah itu namun sampai sekarang setiap kali hujan, air masih meleleh masuk ke dalam rumah melalui siling,” katanya ketika ditemui semalam.

Jelasnya, keadaan mengakibatkan siling rumahnya mereput dan menanti masa untuk runtuh.

“Persoalannya mengapa mengambil masa yang terlalu lama sedang masalah itu boleh diselesaikan dengan segera?,” katanya.

Difahamkan lebih 10 unit rumah di situ turut menghadapi pelbagai masalah lain antaranya air meresap celah dinding dan juga keretakan pada dinding.

Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Sri Galaksi, Abdul Latif Abdul Wahab berkata, penduduk terpaksa mengambil inisiatif membaik pulih sementara kerosakan disebabkan lelehan air ini.

“Kami terpaksa membina sendiri saluran bagi mengelak air meleleh di kaki lima tingkat bawah yang kebanyakan terjejas berpunca dari lelehan air di dalam dinding,” katanya.

Tambahnya lagi, pemaju setakat ini hanya melantik kontraktor untuk menyuntik sejenis bahan kimia ke dalam dinding bagi mengelak air daripada meleleh keluar namun ianya ternyata tidak berhasil.

“Saya harap pemeriksaan teliti dapat dibuat segera oleh pemaju memandangkan tanggungjawab ini adalah tugas mereka sebelum kawasan perumahan ini diserahkan kepada JMB,” katanya.

Jelasnya, penduduk akan membuat aduan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sekiranya masalah itu terus diabaikan atau masih tidak menemui jalan penyelesaian.