SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor menyelesaikan 5,403 aduan berkaitan kepenggunaan dengan nilai rampasan barangan bernilai RM7.5 juta pada tahun lepas.

Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri, Abdul Rosik Yakub berkata, jenis aduan antaranya melibatkan perihal harga; perihal perkhidmatan; aktiviti jualan langsung; Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tiada tanda harga, aktiviti menyorok barang kawalan dan iklan mengelirukan.

"Kejayaan menyelesaikan 95.76 peratus (5,403 aduan) daripada jumlah keseluruhan aduan sebanyak 5,642 adalah hasil komitmen tinggi KPDNKK Selangor walaupun kami hanya mempunyai seramai 200 pegawai di seluruh negeri.

Pegawai-pegawai kami bekerja tujuh hari seminggu dan kami beri komitmen sekiranya ada aduan, dalam masa 24 jam pegawai kami akan ke tempat aduan. Kami mahu pengguna selesa untuk mendapatkan perkhidmatan kami dan komitmen ini akan kami teruskan tahun ini," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Abdul Rosik berkata, terdapat juga 1,152 kes daripada pelbagai akta berkaitan juga telah diambil tindakan pada tahun lepas dengan jumlah kompaun dikeluarkan sebanyak RM421,700.

Akta-akta berkaitan adalah seperti Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Mengulas lanjut mengenai AKHAP, beliau berkata sejumlah 164 notis di bawah Seksyen 21 Akta itu telah dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 13,941 premis dengan memfokuskan kepada peniaga yang menjual barangan dengan harga tidak munasabah.

Katanya sebanyak 29 kes berkaitan AKHAP juga telah dibawa ke mahkamah pada tahun lepas dengan jumlah denda sebanyak RM252,000, kebanyakannya melibatkan barangan keperluan asas, makanan dan barangan basah.

Menurut beliau, ini merupakan satu momentum yang baik yang mana peniaga tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga tanpa alasan munasabah dan tindakan ini akan diteruskan tahun ini dengan mekanisme yang lebih baik.

Abdul Rosik dalam pada itu berpuas hati dengan pemantauan yang dilakukan terhadap bekalan minyak masak di Selangor dan menyatakan komitmen pihaknya untuk meneruskan pemantauan sehingga Mac ini bagi memastikan bekalan minyak masak yang berada di pasaran mencukupi.

"Dengan sejumlah 57 pembungkus semula (minyak masak) di Selangor, kami yakin mereka dapat membekalkan minyak masak peket bersubsidi secukupnya. Sebelum ini kami ada terima 156 aduan pada Oktober dan November tahun lepas mengenai kekurangan bekalan minyak masak peket di pasaran, tetapi setakat ini kami tidak lagi menerima aduan.

Ini merupakan satu petunjuk bahawa minyak masak di pasaran mencukupi dengan pemantauan berterusan pegawai-pegawai KPDNKK Selangor," katanya. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan mengesan 11 premis yang disyaki melakukan kesalahan berhubung penipuan melibatkan jualan murah.
  • PUCHONG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)Selangor menumpaskan sindiket pengedaran arak disyaki tiruan dalam serbuan berasingan di dua premis di Bandar Puchong Jaya, di sini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.