DARO - Seorang wanita ditemukan mati dengan kesan gigitan di kaki dan badan dipercayai oleh buaya di Sungai Kabang dekat Kampung Sawai di sini tengah hari tadi.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, mayat mangsa Maznah Moh, 39 ditemukan oleh penduduk-penduduk kampung yang keluar mencari beliau apabila mendapati perahu yang dinaikinya hanyut di sungai.

“Mangsa ditemui penduduk kampung dan disyaki dibaham buaya kerana terdapat kesan-kesan gigitan pada badan mangsa. Mayat mangsa telah dibawa pulang ke rumah untuk tindakan selanjut,” katanya.

Mangsa dikatakan telah keluar berseorangan untuk menjala udang di sungai itu sekitar pukul 9 pagi.

Apabila perahunya ditemukan hanyut, penduduk kampung terus keluar mencari mangsa sehingga ditemukan sekitar pukul 12 tengah hari,” katanya.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah di Sibu dikejarkan ke kampung tersebut untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa. - Bernama