KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menjangkakan membuat penahanan baharu ke atas individu lain bagi membantu siasatan kes sindiket pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

Pengarahnya Datuk Sazali Salbi berkata penahanan itu akan dibuat berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada individu yang ditahan reman di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

“Tiga pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dari Sabah telah ditahan reman lima hingga enam hari.

“Mungkin ada lagi tangkapan dalam tiga atau empat hari lagi sekiranya kami (SPRM) ada keterangan mencukupi daripada siasatan ke atas tiga pegawai yang direman hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan lafaz Ikrar Bebas Rasuah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah di sini.

Seorang pegawai berumur 45 tahun ditahan reman enam hari, manakala dua lagi masing-masing berumur 53 tahun dan 39 tahun, direman lima hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung dakwaan perlakuan rasuah  sehingga menyebabkan bot-bot nelayan asing dapat memasuki kawasan perairan Sabah.

Mereka antara 22 individu, termasuk penjawat awam dan warga Vietnam, yang ditahan dalam Op Armada berhubung sindiket pencerobohan nelayan asing Vietnam di perairan negara, yang turut melibatkan rampasan wang tunai RM1.9 juta. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GEORGETOWN - JKP Sdn Bhd (JKPSB), sebuah agensi kerajaan Persekutuan, mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil beberapa dokumen bagi membantu siasatan berkaitan isu kepentingan dan pengurusan kewangan agensi itu.
  • KOTA BHARU - Jabatan Imigresen Malaysia melancarkan skuad Cakna Bah sebagai persediaan untuk menjaga kebajikan anggota mereka sekiranya Kelantan dilanda banjir tahun ini.
  • KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu mengesahkan seramai 38 orang ditangkap bersabit kesalahan rasuah di Terengganu, sejak Januari sehingga kini.
  • KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih lagi menunggu Kerajaan Negeri Selangor untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
  • ALOR SETAR - Adun Kota Darul Aman, Teoh Boon Kok tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, selepas tuntutannya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah tidak diendahkan.