KUCHING – "Sarawak bertekad untuk muncul sebagai kuasa besar sukan dan kini hampir pasti menjadikannya suatu kenyataan," kata Menteri Kebudayaan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Sarawak akan menjadi kuasa besar sukan yang berikutnya di negara ini lebih awal dari yang dijangkakan, seandainya kita terus sama-sama  bekerja keras untuk mencapai kejayaan paling besar dalam bidang sukan.

“Kita boleh menjadi negeri yang paling hebat dalam sukan jika kita berkongsi wawasan itu bersama-sama dengan kesemua persatuan sukan tempatan kita, olahragawan dan olahragawati kita,” kata  Abdul Karim ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Sukan Sarawak 2015/2016 di sini malam tadi.

Beliau percaya wawasan  itu boleh menjadi kenyataan disebabkan Sarawak telah pun membuktikan keupayaan mereka dengan menjadi juara Sukan Malaysia (Sukma) tiga tahun berturut-turut iaitu pada 1990, 1992 dan 1994.

Abdul Karim berkata kementeriannya menerusi Perbadanan Sukan Sarawak dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sarawak merangka beberapa inisiatif dengan matlamat untuk terus melatih serta memberi motivasi kepada atlet tempatan.

“Malah Sarawak mempunyai beberapa atlet yang berjaya memperbaharui rekod kejohanan dan pada temasya Sukan SEA 2017 (KL2017) di Kuala Lumpur baru-baru ini kita dapat saksikan kebolehan atlet Sarawak melakukannya,” katanya.

Dalam KL2017, atlet Sarawak menyumbang 13 daripada 145 pingat emas yang diraih Malaysia, selaku juara keseluruhan temasya itu.

Abdul Karim berkata penganjuran semula Sukan Sarawak (SUKSAR) merupakan satu lagi inisiatif kerajaan negeri untuk terus meningkatkan kedudukan Sarawak sebagai kuasa besar sukan di negara ini.

Katanya kali terakhir SUKSAR diadakan adalah 26 tahun lepas dan temasya dari 14 hingga 17 Dis itu  dengan Kuching selaku tuan rumah adalah tepat pada masanya memandangkan SUKSAR dijangka menjadi temasya sukan terbesar di Sarawak selain menjadi pentas terbaik kepada kalangan  atlet untuk beradu kehebatan masing-masing.

Mengenai majlis anugerah sukan itu,  Abdul Karim berkata anugerah dwi tahunan oleh kerajaan negeri menerusi MSN itu bertujuan memberi pengiktiran kepada olahragawan dan olahragawati terbaik, individu, persatuan sukan serta badan berkaitan.

Beliau berkata bagi Anugerah Sukan Sarawak 2015/ 2016, penganjur menerima jumlah penyertaan dan pencalonan yang semakin meningkat iaitu 160 penyertaan bagi 16 kategori anugerah.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak  Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menyampaikan anugerah kepada pemenang. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PARIT BUNTAR - Kerajaan negeri disarankan mempertingkatkan usaha pembinaan lebih banyak infrastruktur kemudahan sukan dan riadah di daerah Kerian bagi menggalakkan inisiatif melahirkan generasi sihat dan aktif pada masa hadapan.
  • KOTA KINABALU - Kerajaan negeri sentiasa memberi galakan dan sokongan terhadap penglibatan perkhidmatan awam di negeri ini dalam aktiviti sukan bagi memastikan kualiti kesihatan fizikal dan mental berada di tahap yang baik.
  • JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri memandang serius isu berkaitan sumber manusia dan memastikan warga Johor memperoleh peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang, sekali gus mengurangkan masalah pengangguran.
  • SHAH ALAM - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Serdang berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM54,998.45 dalam penganjuran program Aerobikthon baru-baru ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.