KUNAK - Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang semasa memancing bersama dua rakannya di perairan Pulau Timbun Mata sempadan Kunak-Semporna pada Ahad lepas, ditemukan mati lemas dan mayatnya terapung di tenggara pulau itu petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Leftenan Komander Radzil Allexender Raphael berkata, mayat Abdullah atau Arkin Unung, 18, ditemui pada pukul 4 petang oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan nelayan tempatan sebelum memaklumkam kepada Pusat Forward Operational Base (FOB) dan Unit Mencari dan Menyelamat MRSC Kota Kinabalu.

“Mayat dibawa ke FOB bagi  pengecaman oleh ahli keluarga sebelum  diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Radzil berkata Maritim memandang serius terhadap kejadian kecemasan di laut dan sentiasa mengambil langkah serta inisiatif terbaik dalam usaha mengurangkan kadar kehilangan nyawa di laut.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini ramalan cuaca melalui MCG Info yang boleh didapati melalui aplikasi ‘playstore’ dan ‘appstore’ di telefon bimbit,” katanya. - Bernama