KUCHING - Seorang orang kena tuduh (OKT) yang meloloskan diri daripada kawalan anggota Cawangan Pengawal Pengiring semalam, ditahan semula di Kampung Kelka, Simunjan tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata,  Zulkipli Morni, 34, ditahan sepasukan anggota dari Kuching dan Simunjan.

"Kira-kira 1 tengah hari tadi, pasukan JSJ Kuching diketuai Asisten Komisioner Ooi Jin Bing dan dibantu oleh JSJ Simunjan berjaya mengesan dan menangkap semula Zulkipli.

"Suspek ditangkap di sebuah rumah kampung di Kampung Kelka, Simunjan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dev Kumar turut mengucapkan tahniah kepada pasukan JSJ Kuching yang telah berusaha bertungkus lumus sejak semalam untuk mengesan suspek sehingga berjaya menangkapnya semula dalam tempoh kurang 24 jam.

Semalam Zulkipli dipercayai telah lari daripada jagaan dengan membuka gari sebelum menuju pagar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching .  

Anggota yang berada di bilik pengawal cuba mengejar suspek, namun suspek telah masuk ke dalam sebuah kereta warna putih jenis Proton Iswara dan terus memecut ke arah jalan besar. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :