KOTA KINABALU - Kerajaan sentiasa memerlukan sokongan padu daripada semua pihak untuk melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti yang mampu memberi sumbangan kepada pembangunan di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan juga tidak mengambil mudah perkembangan pendidikan di negara ini kerana ia adalah faktor utama dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti dan cemerlang.

“Kita maklum bahawa Sabah memerlukan ramai modal insan yang berkualiti dan mampu menyumbang terhadap pembangunan di negeri.

“Justeru, penambahbaikan di sekolah-sekolah di Sabah akan memberi tambah nilai dalam melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang kerana merekalah yang akan menentukan hala tuju negara pada masa depan,” katanya pada Majlis Perasmian Bangunan Pentadbiran Sekolah Menengah Tshung Tsin, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew.

Mohd Shafie berkata mutu pendidikan di sesebuah sekolah bukan sahaja diukur dari segi pencapaian akademiknya, malah pembangunan infrastruktur persekitaran sekolah turut memainkan peranan penting.

“Oleh itu saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan Sekolah Menengah Tshung Tsin kerana komitmen untuk melaksanakan keperluan dan mengambil berat mengenai hal ehwal pelajar.

“Ini terbukti apabila segala infrastruktur sekolah telah dibina seperti gelanggang tertutup, trek balapan, asrama pelajar dan bangunan pentadbiran yang dilengkapi kemudahan hab sosial,” katanya.- Bernama