KOTA KINABALU - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menangani masalah pendatang tanpa izin di Sabah mengadakan mesyuarat pertamanya di sini hari ini dengan dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong di bilik mesyuarat Bangunan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
   
Penubuhan jawatankuasa berkenaan dan pelantikan pengerusi serta anggota RCI diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini pada 11 Ogos tahun ini untuk menyelesaikan samasekali masalah pendatang tanpa izin di Sabah.
   
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat itu, Shim mengumumkan bahawa pendengaran sebenar akan bermula pada 14 Jan tahun depan bertempat di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di sini.
   
Mengenai jumlah saksi yang akan dipanggil memberi keterangan di hadapan jawatankuasa RCI itu, beliau berkata: "Semua saksi, yang kami fikir relevan, akan dipanggil memberi keterangan.
   
"Kami masih memperincikan senarai saksi tetapi saya dimaklumkan setakat ini sudah ada 48 saksi dan lebih ramai yang akan dipanggil," katanya.

Ditanya sama ada orang awam boleh tampil memberi kenyataan, beliau berkata: "Sesiapa saja yang boleh memberi kepada kami maklumat yang relevan boleh datang memberi keterangan."
   
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Setiausaha jawatankuasa RCI, yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Saripuddin Kasim dan empat pesuruhjaya iaitu bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Prof Datuk Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Peguam Besar Sabah Tan Sri Herman Luping, bekas Setiausaha Kerajaan Sabah Datuk K.Y Mustafa dan Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Datuk Henry Chin Poy Wu.
   
Shim berkata mesyuarat itu bertujuan membincangkan perkembangan siasatan yang dikendalikan oleh unit siasatannya yang ditubuhkan pada 1 Oktober tahun ini.
   
"Setakat ini perkembangannya sangat baik dan kami akan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikannya dalam tempoh enam bulan... enam bulan mulai tarikh pelantikan kami iaitu 21 September tahun ini," katanya.
   
Beliau berkata, jawatankuasa RCI itu diberi enam bulan untuk menyiapkan siasatan mereka berhubung kebanjiran pendatang tanpa izin di Sabah.
   
"Kami akan cuba menyelesaikan semuanya sebelum tarikh akhir. Sudah tentulah mengikut peruntukan kami boleh memohon perlanjutan sekiranya tidak dapat menyiapkannya dalam tempoh yang ditetapkan," kata Shim.
   
Ditanya mengenai bidang khusus yang disiasat oleh jawatankuasa itu, Shim berkata jawatankuasa itu akan menyiasat semua aspek yang dirasakan relevan dengan terma rujukan RCI.
   
"Kami perlu memberi tumpuan berhubung terma rujukan... semua sekali ada lapan terma rujukan," katanya.
   
Ditanya sama ada RCI akan membantu menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin di Sabah, Shim sekadar berkata mereka akan cuba melaksanakan tugas dalam lingkungan terma rujukan.
   
Ketika mengumumkan terma rujukan suruhanjaya itu pada 11 Ogos tahun ini, Perdana Menteri berkata antara lain, suruhanjaya itu akan menyiasat jumlah pendatang tanpa izin di Sabah yang memiliki kad pengenalan atau kewarganegaraan.
   
Siasatan akan turut memberi tumpuan sama ada pengeluaran kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang terbabit dibuat berdasarkan undang-undang di samping menyiasat sama ada mereka yang memperoleh kad pengenalan biru atau resit pengenalan sementara (biru) atau kewarganegaraan secara tidak mengikut undang-undang, didaftarkan dalam Daftar Pemilih, katanya.
   
Selain itu, Najib berkata RCI itu akan turut menyiasat sama ada pihak berkuasa berkaitan telah mengambil sebarang tindakan atau membuat apa-apa penambahbaikan kepada prosedur amalan standard, kaedah dan peraturan untuk mengelak ketidakteraturan dari segi undang-undang.
   
Siasatan lanjut juga diperlukan dalam perkara berkaitan prosedur amalan standard, kaedah dan peraturan berhubung pengeluaran kad pengenalan biru atau kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah dengan mengambil kira standard antarabangsa dan norma yang terpakai bagi Malaysia, beliau dipetik sebagai berkata. - Bernama