SANDAKAN - Kerajaan Sabah pimpinan Parti Warisan Sabah tidak menolak kemungkinan individu daripada pembangkang mengatur supaya pendatang tanpa izin berpura-pura meminta bantuan dalam memohon MyKad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata ini adalah sebahagian daripada taktik kotor pemimpin pembangkang untuk memenangi semula sokongan rakyat oleh sebab mereka ketandusan idea ekoran kekalahan dalam pilihan raya umum yang lepas.

“Warisan tidak pernah terlibat dalam membantu pendatang tanpa izin untuk mendapatkan MyKad. Kami hanya menganjurkan program khidmat masyarakat bergerak dengan kami  turun padang  berjumpa orang ramai dan mendengar keluhan mereka, termasuk kekurangan kemudahan asas,” jelas beliau.

“Program khidmat masyarakat bergerak tidak sepatutnya dipolitikkan. Ia bukanlah perkara baharu kerana kerajaan sebelum ini pun pernah menganjurkannya,” katanya, dan menambah, pemimpin pembangkang kini menggunakan program berkenaan sebagai taktik untuk memburuk-burukkan kerajaan pimpinan Warisan.

“Saya percaya isu MyKad yang tular di internet adalah kerja pembangkang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Liew berkata terdapat individu yang tampil dengan membawa pelbagai surat permohonan dengan format dan font yang sama dalam tiga program khidmat masyarakat bergerak yang mereka anjurkan selepas beliau menang kerusi Parlimen Batu Sapi.

“Saya mengambil keputusan untuk bertanya di mana mereka usahakan untuk mendapat surat itu sebab saya rasa pelik kerana kebanyakan mereka buta huruf,” katanya.

“Saya terkejut apabila mendapat tahu mereka usahakan untuk mendapat surat itu di pusat bandar dan mereka membayar orang tertentu untuk menaip dengan bayaran sekitar RM10 hingga RM100 bagi sepucuk surat yang ringkas atau hanya untuk mengisi borang tertentu.

“Saya berasa sangat  terganggu dengan perkara ini dan telah mengarahkan kakitangan saya supaya menyiasat serta membuat laporan polis terhadap  mereka, jika perlu,” kata Liew.

Semua ini, sebagai contoh, menaip surat dan mengisi borang permohonan, boleh dilakukan secara percuma di Pusat Khidmat Rakyat Bergerak Batu Sapi Rakyat, katanya.

Liew berkata program khidmat masyarakat bergerak, yang dijalankan di beberapa tempat di kawasan pilihan rayanya, bertujuan supaya rakyat mudah mendekati beliau selaku wakil rakyat mereka, tanpa perlu datang ke pejabatnya.

“Ia satu daripada cara untuk menghapuskan formaliti dan birokrasi yang menghalang rakyat daripada mendapat khidmat daripada pelbagai agensi,” katanya.

Beliau berkata masih ramai yang tidak sedar tentang status permohonan kewarganegaraan mereka sungguhpun mereka telah diberi taraf pemastautin tetap yang turut dikenali sebagai kad pengenalan merah. - Bernama