BINTULU – Seorang lelaki rentung setelah kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas serta terbakar dalam kemalangan kendiri di KM22 Jalan Pesisir Bintulu-Miri pukul kira-kira 12.30 tengah hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, Ling Kiew Hing, 53, yang juga dikenali dengan nama Ah Heng, terperangkap di dalam kenderaan pacuan empat roda setelah terbabas dan terbalik di bahagian kiri jalan.

“Seorang penumpang lelaki Alwi Kemarau, 42, yang turut berada di dalam kenderaan pacuan empat roda itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Mohamad Meramit berkata, mangsa gagal menyelamatkan diri kerana tersepit di dalam kenderaan pacuan empat roda semasa kejadian berlaku. – Bernama