KOTA KINABALU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah baik setiap prosedur dan tindakan yang dibuat sebelum ini dalam usaha menangani masalah jenayah yang berlaku di kawasan sempadan perairan Sabah khususnya di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata antara penambahbaikan itu termasuk  meningkatkan kemampuan dan kesiapsiagaan anggota keselamatan untuk berhadapan dengan  ancaman  selain menambah keupayaan logistik secara peringkat.

“Kita juga akan memberi fokus kepada kolaborasi dengan masyarakat yang tinggal di kawasan yang terlibat supaya anggota keselamatan dapat mengambil tindakan pantas dan mantap apabila berlakunya jenayah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat Inspektor Kehormat PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan, di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan penambahbaikan itu dibuat dalam satu mesyuarat khas yang telah diadakan di sini bagi mengkaji dan meneliti setiap cadangan untuk meningkatkan kawalan keselamatan perairan negara  yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.

Noor Rashid berharap dengan perancangan baharu itu akan mampu mengatasi masalah yang melibatkan jenayah rentas sempadan, penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia.

Terdahulu, Noor Rashid memakaikan pangkat Inspektor Kehormat kepada Mohammed Yazzer Mahmun, 48, seorang wartawan sebuah televisyen swasta yang banyak membantu menjayakan program yang melibatkan PDRM.

Beliau berkata anugerah berkenaan diberikan kepada Mohammed Yazzer yang memberi komitmen yang tinggi dalam memaparkan aktiviti jenayah yang berlaku dalam masyarakat.

“Atas sumbangan beliau dan usahanya memberi bantuan serta sokongan kepada PDRM, beliau diberi pangkat (Inspektor Kehormat) pada hari ini,” katanya. - Bernama