• Bot ekspres yang karam di Sungai Rajang, Sarawak. Bot ekspres yang karam di Sungai Rajang, Sarawak.
1 /

SIBU - Operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa yang dikhuatiri masih terperangkap di dalam bot ekspres 'Kawan Mas' yang karam di Belaga pada 28 Mei lalu dan kerja mengapungkan bot itu dihentikan berkuat kuasa hari ini, iaitu 24 hari selepas tragedi.
   
Mengumumkan perkara itu, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perbincangan dan mempertimbangkan maklum balas diperoleh daripada jawatankuasa khas yang dipengerusikan beliau sendiri.
   
"Keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat khas bencana yang diadakan di Bilik Gerakan Negeri Sarawak petang semalam," katanya.
   
Terdahulu, Jabu juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Negeri (JPBBN) Sarawak meninjau keadaan Kampung Datu di sini yang musnah dalam kebakaran petang semalam dan menemui mangsa.
   
"Kita mengambil kira pandangan dan nasihat daripada pasukan mencari dan menyelamat Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang beroperasi dari hari pertama kejadian hingga sekarang.
   
"Keadaan sungai yang berarus deras, amat bahaya dan berisiko tinggi kepada sesiapa sahaja yang cuba untuk menyelam dan mencari bot itu," jelasnya.

Beliau berkata usaha terakhir yang dijalankan pasukan mencari dan menyelamat kedua PDRM yang dibawa khas dari Kuala Lumpur pada 12 Jun juga menemui jalan buntu dan mengesahkan ia amat bahaya untuk diteruskan.
    
Lagipun, katanya, dari sudut pandangan perubatan, dalam tempoh 24 hari mayat mangsa sekiranya dijumpai sudah dalam keadaan reput dan tidak boleh dikenali.
    
Jabu berkata jawatankuasa khas itu merancang menghubungi waris dan saudara mara yang terlibat bagi mendapatkan persetujuan mengadakan upacara khas bagi mangsa yang belum dijumpai.
    
"Kita juga merancang untuk mengisytiharkan lokasi kejadian sebagai 'perkuburan' mangsa dan satu monumen akan didirikan berhampiran lokasi tragedi sebagai tanda peringatan," katanya.
    
Beliau berkata PDRM dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak akan meneruskan siasatan berhubung kejadian itu dan hasil siasatan kelak akan menentukan tindakan seterusnya yang akan diambil terhadap pengusaha bot terbabit.

Pada hari kejadian, bot ekspres 'Kawan Mas' yang dalam perjalanan dari Belaga ke Kapit dan Sibu, terlanggar kayu balak di Giam Bungan, Sungai Rajang, kira-kira satu jam perjalanan dari pekan Belaga dan mengalami kerosakan enjin sebelum tenggelam pada jam 8.45 pagi.
    
Bot itu membawa lebih 200 penumpang sungguhpun kapasitinya hanya untuk 64 penumpang.
    
Seramai 213 mangsa berjaya menyelamatkan diri selepas bot itu karam, dua penumpang masih hilang dan seorang lagi dijumpai mati dua hari selepas kejadian.
    
Ahad lepas, mayat lelaki dipercayai seorang daripada mangsa yang masih hilang ditemui terapung di Sungai Rajang berdekatan Rh. Lat, lebih satu jam perjalanan dengan bot dari Giam Bungan. - Bernama