TAWAU - Akibat mencederakan seorang wanita warga emas menggunakan senjata tajam pada Ahad lepas, seorang lelaki ditahan polis di sebuah bangunan di Jalan Kastam Lama di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata suspek berusia 23 tahun yang turut positif dadah itu ditahan pada 5 petang.

Mangsa  yang cedera di bahagian belakang kepala, pipi dan jari itu seorang wanita berusia 66 tahun dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Tawau, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kes itu dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam dan polis turut merampas sebilah pisau memotong daging sepanjang lapan inci, sebilah mata pisau lebih kurang tiga inci panjang, sebatang hulu pisau berwarna hitam serta sebatang besi pemegang bagasi berwarna hitam.

"Kejadian itu bermotifkan, mangsa memarahi suspek yang masuk ke rumah disewa bersama-sama melalui tingkap memandangkan pintu rumah berkunci. Suspek yang berang dengan mangsa bertindak menyerang mangsa menggunakan batang pemegang bagasi serta pisau pemotong sayur.

"Suspek juga dipercayai marah dengan mangsa kerana masuk campur hal rumah tangga suspek apabila menegur suspek yang bertengkar dengan isterinya pada pagi hari kejadian," katanya.

Fadil berkata suspek dan mangsa, masing-masing menyewa bilik di rumah yang sama, dengan suspek tinggal bersama isteri serta dua anaknya manakala suspek bersama dua cucunya.

Pada Ahad lalu, menurut Fadil pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan tompokan darah di luar rumah penginapan di sebuah bangunan di Jalan Merdeka Raya dekat sini.

Beliau berkata polis yang bergegas ke lokasi terpaksa memecahkan pintu rumah tersebut dan pemeriksaan menemukan mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di atas kerusi di hadapan pintu.

Katanya pegawai perubatan yang memeriksa mangsa di lokasi kejadian mengesahkan mangsa masih hidup dan seterusnya dikejarkan ke hospital.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata. – Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.