KENINGAU - Sebanyak 21 haiwan ternakan termasuk kerbau jantan dan ayam putih dikorbankan dalam upacara ritual pemindahan Batu Sumpah Peringatan Keningau hari ini bagi memastikan proses memindahkan batu sumpah itu berjalan lancar.

Pegawai Daerah Keningau Yusop Osman berkata batu sumpah berkenaan diangkat dan dipindahkan menggunakan lori 10 tan selain diarak sejauh satu kilometer dengan dipimpin oleh Ketua Bobolian Muri Kulim bersama 1,000 pengiring.

Katanya  projek pemindahan batu sumpah dari perkarangan Pejabat Urusetia Daerah Keningau ke Muzium Warisan Keningau itu menelan belanja kira-kira RM1.025 juta.

"Upacara itu mematuhi segala terma serta kaedah mengikut adat istiadat penduduk Kadazandusun dan Murut (KDM) pedalaman sebagaimana ia dilakukan ketika batu sumpah berkenaan didirikan pada 31 Ogos 1964," katanya selepas menyaksikan upacara pemindahan tersebut di sini.

Upacara pemindahan batu sumpah berkenaan disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar Sabah, Raymond Ahuar yang turut menyifatkan ia sebagai peristiwa bersejarah yang perlu diketahui oleh semua rakyat di negara ini.

Raymond berkata peruntukan besar bagi membiayai projek pemindahan batu sumpah itu juga adalah bukti keikhlasan serta pengiktirafan kerajaan persekutuan kepada rakyat Sabah khususnya di pedalaman.

Katanya batu sumpah yang mempunyai sejarah tersendiri itu mampu menarik kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa ke kawasan pedalaman Sabah seterusnya membantu meningkatkan lagi sosioekonomi penduduk terutama peniaga tempatan.

"Saya berharap kementerian pelancongan negeri dan persekutuan boleh berbincang bagaimana menjadikan kawasan ini sebagai satu tarikan pelancong," katanya.

Batu Sumpah Keningau merupakan peringatan sejarah yang sangat penting bukan sahaja untuk  Sabah dan Keningau tetapi kewujudannya turut berkait rapat dengan pembentukan Malaysia.

Pada 31 Ogos 1964, Menteri Buruh Persekutuan pada ketika itu Tan Sri V. Manickavasagam telah merasmikan peletakan batu sumpah tersebut disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah Tun Fuad Stephens serta tokoh masyarakat Dusun Datuk G.S Sundang yang pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Peristiwa bersejarah itu turut disaksikan pasukan keselamatan, pegawai kerajaan dan ketua-ketua etnik penduduk tempatan Sabah di hadapan Pejabat Daerah Lama Keningau.

Sekiranya kerja-kerja penyelenggaraan berjalan lancar, tapak baharu Batu Sumpah Peringatan Keningau di Muzium Warisan Keningau itu dijangka dibuka kepada umum pada sambutan Hari Malaysia, 16 September ini.

Sementara itu, seorang daripada pengasas batu sumpah itu berpendapat upacara memindahkan Batu Sumpah Peringatan Keningau hari ini akan lebih bermakna jika dihadiri semua pemimpin masyarakat tempatan bagi menghormati sejarah pembentukan Malaysia.

Ricky Sedomon berkata batu sumpah itu diwujudkan hasil daripada perbincangan pemimpin politik terdahulu sebagai tanda persetujuan masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) dengan pembentukan Malaysia.

“Secara peribadi, saya rasa sedikit terkilan kerana pemimpin seperti anggota Parlimen Keningau Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Murut Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sepatutnya turut hadir pada upacara ini tanpa mengira fahaman politik.

“Saya berharap pemimpin berkenaan akan turut hadir dalam majlis-majlis bersejarah seperti ini kerana batu sumpah ini milik semua rakyat tanpa mengira status,” katanya ketika ditemui pemberita selepas upacara itu di sini.

Ricky, yang merupakan seorang pengamal undang-undang, berkata Batu Sumpah Peringatan Keningau dicetuskan oleh para pemimpin KDM pedalaman Sabah yang pada asalnya enggan menyertai pembentukan Malaysia pada 1963.

"Batu sumpah itu wujud hanya selepas perdana menteri ketika itu Allahyaraham Tun Abdul Razak Hussein datang ke rumah kami di Bingkor (Keningau) untuk berbincang bagi memberikan keyakinan kepada mendiang bapa saya Datuk Seri Panglima Sedomon Gunsanad Kina (ketua orang asal di Keningau) dan bersetuju dengan pembentukan Malaysia.

"Tanpa batu sumpah, tidak ada negara Malaysia," katanya. - Bernama