SADONG JAYA - Kerajaan negeri memperuntukkan RM150 juta untuk mengatasi masalah air di empat daerah yang terjejas di Sadong Jaya, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, empat daerah terjejas itu meliputi Sadong Jaya, Simunjan, Asajaya dan Sebuyau sehinggalah ke Sebangan.

“Masalah air ini berpunca daripada kebocoran paip bawah tanah yang telah berusia lebih 40 tahun dan satu pendekatan yang baharu perlu diambil agar pemasalahan ini dapat diselesaikan secepat mungkin dalam jangka masa pendek dan panjang.

“Apa yang telah kerajaan negeri putuskan hari ini ialah kita akan membina saluran paip baharu menggunakan beberapa kaedah agar masalah paip bawah tanah bocor tidak akan berulang lagi di masa akan datang,“ katanya selepas menghadiri taklimat bersama Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak bersempena dengan Majlis Tinjauan Mesra Ketua Menteri Sarawak ke Sadong Jaya di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah JBALB Sarawak, Ir Daniel Wong dan Menteri Kemudahan Awam, Datuk Seri Stephen Rundi Utom.

Abang Johari berkata, satu pasukan komuniti khas akan dibentuk untuk memantau projek pembangunan serta baik pulih saluran paip itu kelak.

“Saya minta pihak berkenaan untuk membangunkannya dalam tempoh 18 bulan. Antara kaedah yang akan digunakan adalah saluran paip yang melintasi jambatan Batang Sadong dan paip tinggi mengikut jalan agar kebocoran di masa akan datang dapat dilihat dengan nyata.

“Projek ini akan dibayai menggunakan dana negeri tanpa bantuan persekutuan dan dipantau sepenuhnya oleh JBALB negeri,” katanya.