TAWAU - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menasihatkan 1,225 jemaah haji negeri ini supaya menjaga kesihatan diri masing-masing sepanjang menunaikan ibadah haji di tanah suci Mekah.

Beliau berkata meskipun sibuk melakukan ibadah, namun aspek kesihatan perlu dititikberatkan.

“Jika adadalam kalangan jemaah haji mengalami masalah kesihatan, mereka perlu mendapatkan rawatan di klinik-klinik Tabung Haji, sama ada di Mekah atau Madinah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena kursus perdana haji peringkat negeri Zon Pantai Timur 1439/2018,  yang dibaca Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Mokhtar di sini, hari ini.

Daripada 1,225 jemaah haji Sabah, seramai 550 jemaah dari Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Semporna.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri menyambut baik penganjuran kursus untuk bakal haji kerana program itu dapat menambah ilmu pengetahun serta pemahaman tentang ibadah haji.

Katanya komitmen dan inisiatif Tabung Haji itu perlu dipuji serta disyukuri kerana saban tahun, organisasi berkenaan cemerlang dalam menjaga kebajikan jemaah haji Malaysia khususnya Sabah.

“Tabung Haji telah membuktikan keupayaan dalam mengurus perjalanan haji umat Islam di negara ini sehingga pengurusan haji yang dikendalikan secara efisyen dan tersusun itu mendapat pujian negara luar,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Sumber Manusia Tabung Haji Mohd Hisham Harun berkata kursus itu dua hari, satu malam itu bermula sejak 29 Jun hingga 8 Julai dengan kawasan Pantai Timur Sabah merupakan lokasi terakhir penganjuran kursus daripada 17 lokasi di seluruh negara.

Katanya menerusi kursus bakal jemaah haji diberikan pendedahan melaksanakan ibadah haji melalui latihan amali secara simulasi seperti bertawaf, saie, melontar batu serta amalan dan beribadah secara berkumpulan. -Bernama