KUCHING - Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Kunjungan hormat itu diadakan di Pejabat Ketua Menteri, Bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, Petra Jaya, dekat sini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak, Abang Sardon Abang Hashim serta Penolong Pengarah Unit Rekabentuk dan Multimedia Jabatan Penerangan Malaysia, Nor Azli Mohd Nor Azian.

Ibrahim yang mengetuai rombongan itu bertujuan menjemput Abang Johari untuk merasmikan Majlis Penutupan Program 'My Merdeka' sempena Bulan Kebangsaan 2018 yang akan diadakan di Pasaraya Mydin, Petra Jaya pada 14 September depan.

Sementara itu dalam kenyataan media, Jabatan Penerangan Malaysia memaklumkan program tiga hari itu terbahagi kepada dua segmen iaitu pameran dan aktiviti yang akan melibatkan pelbagai pengisian seperti pameran bercetak dan pameran e-digital mengenai sejarah negara; Raja Kita; Aspirasi Negara; sudut seni dan sudut tayangan multimedia; persembahan busking, pertandingan nyanyian serta kuiz kenegaraan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dijangka akan menghadiri majlis perasmian program itu nanti. - Bernama