TRONG - Perak sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila muncul negeri pertama berjaya menternak tiram triploid spesies Crassostrea iredalei yang diusahakan sebuah syarikat swasta di perairan Kuala Trong, di sini.

Melalui projek berkenaan, sebanyak 1.2 juta ekor Tiram Triploid berjaya diternak di perairan Kuala Trong, di kawasan seluas kira-kira satu hektar.

Kejayaan projek ternakan yang diusahakan Syarikat Tropical Oyster itu diumumkan Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Pulau Pinang, Rosly Hassan yang mana, ia merupakan projek ternakan pertama dapat dihasilkan di dunia.

Rosly berkata, Tiram triploid yang dihasilkan itu lebih berkualiti dan cepat membesar iaitu antara enam hingga tujuh bulan berbanding tiram biasa iaitu lapan hingga 12 bulan.

Menurutnya, berikutan kejayaan itu, jabatan berharap lebih ramai lagi pengusaha akan menceburi industri ternakan tiram secara besar-besaran sekali gus mampu mengurangkan kadar import produk tersebut yang kini mencecah hampir 95 peratus.

“Sejak 1990-an lagi, penyelidik kami yang berpusat di FRI Pulau Pinang membangunkan industri akuakultur tiram termasuk penghasilan benih dalam hatceri.

“Hasil penyelidikan yang dibuat, akhirnya spesies tiram triploid tropika yang pertama di dunia dihasilkan dan diternak secara komersial di negeri Perak,” katanya di Majlis Perasmian Program Promosi Teknologi Akuakultur Tiram Triploid di Seratak Anjung Resort, Kuala Trong, Trong dekat Taiping, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Trong, Datuk Rosli Hussin, Pengarah Mardi Negeri Perak Dr. Zabri Abdul Wahid dan juga Pengarah Urusan Tropical Oyster Sdn Bhd Ernest Low.

Rosly berkata, jabatan turut membangunkan model ternakan tiram menggunakan sistem rakit dan rawai yang kukuh serta teratur sebelum penemuan teknologi terkini dipindahkan kepada golongan sasaran.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TRONG - Penduduk sekitar Mukim Sungai Tinggi di sini, menggesa pihak berkenaan menyelesaikan masalah lalat di kampung mereka yang berlaku sejak dua tahun lalu.
  • TRONG - Seorang pelajar tingkatan satu maut digilis sebuah lori selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 70.8 Jalan Sitiawan-Taiping berhampiran persimpangan masuk Kampung Sungai Lubok, di sini.
  • TRONG - Seorang warga emas terpaksa menjadikan sebuah kereta sebagai tempat berteduh dari hujan panas dan melelapkan mata berikutan tiada tempat tinggal.
  • TRONG - Dua kanak-kanak nyaris maut apabila rumah mereka terlibat dalam satu kejadian kebakaran di Taman Trong Indah, di sini.
  • TRONG - Simpanan wang gaji milik seorang pekerja warga Indonesia hangus apabila rumah kongsi yang didiami bersama hampir 30 warga asing lain di Kampung Nibong dekat sini, terbakar.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.