GERIK - Seorang lelaki warga emas cedera parah di tangan akibat tersepit mesin tebu semasa mahu memulakan perniagaan di Bandariang, di sini, petang tadi.

Mangsa, Abdul Majid Beran, 70an, kini berada di Hospital Taiping dan difahamkan pembedahan ke atas tangannya akan dilakukan malam ini juga.

Anak mangsa, Nuratina Abdul Majid, 42, berkata ayahnya kini dalam keadaan baik namun agak lemah kerana menahan sakit akibat insiden itu.

Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.00 petang tadi semasa ayahnya bersiap-siap untuk memulakan perniagaan di Pasar Malam Bandariang.

“Biasanya dia memang buat kerja dengan cermat, tidak pernah buat laju-laju pun. Tadi jarinya tersepit masa masukkan tebu yang pertama.

“Masa masuk tiada apa berlaku tapi masa kepakkan tebu itu, satu jari termasuk dalam mesin, terus mesin sedut sampai pergelangan tangan.

“Teruk juga keadaan tangannya. Adik bongsu saya yang tolong buka mesin itu dan keluarkan tangan ayah kemudian terus hantar ke Hospital Gerik,” katanya kepada Sinar Harian.

Setakat jam 9.45 tadi, Nuratina memaklumkan ayahnya dalam keadaan stabil dan hanya menunggu masa untuk pembedahan.

“Harapnya semua berjalan dengan baik. Kami sangat terkejut bila dengar berita ini. Doakan ayah saya selamat menjalani pembedahan dan cepat sembuh,” ujarnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BATU PAHAT - Seorang warga emas menerima 13 jahitan di belakang badan dan tengkuk akibat ditikam dengan gunting oleh seorang lelaki di Taman JPN 2 Yong Peng di sini, malam kelmarin.
  • BACHOK - Seorang lelaki berusia 25 tahun cedera parah selepas ditembak pada bahagian rusuk dalam kejadian di Kampung Permatang Pasir pada jam 3.35 petang semalam.
  • TASEK GELUGOR - Pemandu sebuah lori cedera parah apabila lori yang dipandunya itu terbabas lalu melanggar sebatang pokok dalam kejadian di Jalan Kampung Baru Sungai Korok petang tadi.
  • KOTA TINGGI - Seorang anggota polis yang juga merupakan Ketua Balai Polis Bukit Besar disini cedera parah selepas ditikam seorang lelaki dipercayai kurang siuman dalam kejadian di Felda Pasir Raja kira-kira jam 7 malam semalam.