IPOH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak sedia bekerjasama dengan mana-mana agensi dalam usaha memerangi rasuah.

Pengarahnya, Datuk Zainul Darus berkata, pihaknya juga bersedia untuk memberikan bantuan terutama dari segi konsultan kepada agensi yang menandatangani IBR.

"Kita akan membuat tindakan susulan kepada agensi-agensi berkenaan selepas proses IBR dilaksanakan antaranya anjurkan kursus dan seminar. Kita juga akan meneliti segala prosedur operasi standard (SOP) masing-masing.

“Kita juga bertindak selaku konsultan bagi menambah baik sistem yang kita rasakan ada potensi berlakunya jenayah rasuah,” katanya selepas melancarkan Majlis IBR oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Yuhanas Auree Kamaruddin yang turut mengetuai lafaz IBR bersama 40 kakitangan LPHP.

Sementara itu, Zainul berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif LPHP untuk menyertai lafaz ikrar IBR sekali gus menjadikan LPHP sebagai agensi kerajaan ke-34 yang menandatangani IBR SPRM, tahun ini.

“Terima kasih, LPHP kerana sudi tampil ke hadapan bekerjasama bagi membendung jenayah rasuah,” katanya.