IPOH – Tiga anggota polis berpangkat rendah ditahan reman selama tiga hari, selepas didakwa terlibat dalam kes memeras ugut seorang warga asing, Sabtu lalu melibatkan wang berjumlah hampir RM4,000.

Ketiga-tiga anggota berusia antara 30 hingga 40 tahun itu ditahan selepas mangsa, warga Bangladesh membuat laporan, pada hari sama kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, mangsa berusia 30-an diminta membayar sejumlah wang bagi menutup kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, ketika pemeriksaan dijalankan ketiga-tiga anggota di tepi jalan di Pokok Assam, Taiping.

“Daripada laporan itu, kita dapati memang ada asas untuk siasatan dijalankan, mangsa juga memberitahu boleh mengecam anggota serta kenderaan digunakan.

“Ketiga-tiga mereka telah ditahan reman selama tiga hari, berakhir hari ini dan berkemungkinan diberikan jaminan polis sebaik semua siasatan selesai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri peringkat Kontinjen Perak.

Majlis turut dihadiri Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Zulkifli Abdullah dan Ketua Polis negeri, Datuk Hasnan Hassan.

Yahya berkata, bagi kesalahan memeras ugut, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

“Siasatan sama juga akan dilakukan di bawah salah laku dan tatatertib,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis berjaya menggagalkan cubaan dua premis judi yang cuba untuk beroperasi semula, bulan lalu.

Menurutnya, dua premis di sekitar Ipoh itu hanya sempat dibuka sekitar empat hingga lapan jam sebelum diserbu pihak polis.

“Ada beberapa kes yang kita kesan mereka cuba untuk membuka semula operasi meskipun sebelum ini telah dikenakan tindakan, sindiket seperti ini memang sentiasa mencari peluang, selain daripada pemantauan ketat kita jalankan, kita juga minta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk memaklumkan kepada polis agar tangkapan dapat dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas Tweet dimuat naik Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan, Jun lalu berhubung dakwaan pengoperasian premis judi di Ipoh.

Jelasnya, sehingga kini, polis dimaklumkan, tiada lesen baru membabitkan pusat hiburan keluarga dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Jika ada pun melibatkan premis lama dan ia dipantau ketat agar tiada aktiviti berunsur perjudian dijalankan,” katanya.