IPOH – Kerajaan Perak akan memperkenalkan aplikasi telefon pintar untuk membayar caj meletak kereta (e-parking), bermula tahun depan.

Exco Kerajaan Negeri, Yong Choo Kiong berkata, sistem itu satu lagi pilihan kepada orang ramai selain penggunaan kupon sepertimana dilaksanakan sekarang.

“Sepertimana kita putuskan sebelum ini, penggunaan kupon letak kereta akan diseragamkan berkuatkuasa 1 Januari tahun depan. Dengan penyeragaman itu, pengguna tidak lagi perlu membeli kupon berlainan mengikut kawasan PBT.

“Satu lagi kaedah yang kita nak perkenalkan adalah melalui e-parking, aplikasi yang dibangunkan ini lebih bersifat  mesra pengguna dan menjimatkan masa.

“Saya harap kedua-duanya boleh dilaksanakan secara serentak (tahun depan),” katanya kepada pemberita sempena upacara angkat sumpah pelantikan Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), hari ini.

Beliau berkata, syarikat yang bertanggungjawab membangunkan aplikasi berkenaan akan memulakan sesi taklimat di setiap PBT, Ogos ini.

Katanya, taklimat itu termasuklah tatacara penguatkuasaan yang perlu diambil perhatian.

“Saya dimaklumkan cara penggunaannya mudah, pengguna hanya perlu memilih kawasan PBT mana, mengisi nombor kenderaan dan tempoh masa, apabila tamat waktu meletak kenderaan, pengguna boleh melanjutkan masa parkir melalui telefon tanpa perlu ke kenderaan.

“Di pihak penguat kuasa pula, mereka juga ada aplikasi khas untuk semakan sama ada kenderaan itu telah menjelaskan caj parkir atau tidak sebelum kompaun dikeluarkan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Choo Kiong berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk memasang lebih 1,000 lampu jalan melibatkan semua kawasan PBT selepas menerima banyak aduan berkaitan laluan gelap.

Menurutnya, pemasangan itu akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun pertama ini mengikut keutamaan lokasi yang lebih berisiko.

“Jadi setiap PBT kena kenal pasti lokasi mana yang memerlukan kemudahan lampu mengikut aduan diterima daripada penduduk, ada sesetengah kawasan sudah disediakan tiang dan kita hanya perlu pasang lampu sahaja yang melibatkan kos antara RM200 ke RM300,” katanya.

Ahli Majlis MBI bagi sesi 2018/2019 kali ini menyaksikan 22 ahli daripada empat parti mengangkat sumpah sementara dua lagi bakal diisi wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mereka adalah 10 wakil DAP sementara PKR, Amanah dan Bersatu masing-masing empat orang.