• Mohd Salleh (dua, kanan) menyempurnakan gimik pelancaran mini RTC Bagan Tiang semalam. Mohd Salleh (dua, kanan) menyempurnakan gimik pelancaran mini RTC Bagan Tiang semalam.
1 /

PARIT BUNTAR - Seramai 700 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dari seluruh daerah ini dikenal pasti mendapat manfaat sewajarnya daripada perlaksanaan program mini Transformasi Luar Bandar (RTC) oleh kerajaan sejak 2006.

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Parit Buntar, Mohd Salleh Md Disa berkata, daripada angka itu, sekurang-kurangnya 100 usahawan IKS yang celik informasi maklumat (IT) dan menggunakan platform mini RTC atau sebelum ini dikenali sebagai Mini Info Desa (MID) untuk memajukan perniagaan mereka berjaya dilahirkan setiap tahun.

Menurutnya, objektif mini RTC ini merupakan ruang kepada pelbagai agensi kerajaan menyalurkan program-program bagi memperkasakan penduduk kampung baik dari segi ekonomi, sosial dan kebudayaan.

“Kelebihan Mini RTC ini juga sebagai pusat pembekalan agro makanan dan agri bisnes yang menghubungkan pengeluar dengan pengguna di seluruh negara.

“Ia akan dapat memperhebatkan rangkaian pemasaran produk desa sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran mini RTC Bagan Tiang di sini semalam.

Turut hadir Pegawai Daerah Kerian, Kamaruddin Awang, Penyelaras Parlimen Parit Buntar, Abdullah Salleh, Penyelaras Dun Titi Serong, Abu Bakar Md Ali dan Presiden Belia 4B Kebangsaan, Muammar Ghadafi Jamaluddin.

Mohd Salleh berkata, perlaksanaan mini RTC tunggal daerah Kerian di Bagan Tiang dengan kos keseluruhan RM290,000 sejajar dengan hasrat kerajaan memastikan penduduk di luar bandar tidak terus terpinggir dalam arus pembangunan negara.

“Mini RTC ini akan melonjakkan taraf hidup rakyat dan ia sebahagian daripada Dasar Transformasi Nasional yang diperkenalkan Perdana Menteri bertujuan membela nasib, memberi keadilan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat luar bandar.

“Melalui peranan yang dimainkan oleh mini RTC, taraf hidup masyarakat luar bandar dapat dipertingkatkan sekali gus menjadi anjakan kepada pembangunan sektor luar bandar,” katanya.