PARIT BUNTAR - Penganjuran program ceramah agama menampilkan tokoh pendakwah terkemuka, Datuk Mohd Kazim Elias di Kuala Kurau, di sini, minggu ini membuktikan tiada arahan larangan berceramah agama dikenakan terhadap tokoh agama tertentu di daerah Kerian.

Pegawai Tadbir Agama Parlimen Parit Buntar, Khairul Nizam Mat Nor berkata, sejak kerajaan dahulu, tiada sebarang sekatan berceramah agama atau ‘gam’ dikenakan terhadap mana-mana tokoh agama dan budaya itu diteruskan kerajaan negeri baharu itu.

Menurutnya, sebagai sebuah daerah yang membudayakan keilmuan Islam, seluruh masjid dan surau di daerah Kerian sentiasa aktif dihadiri pelbagai tokoh penceramah agama dari pelbagai fahaman politik bagi memastikan dakwah Islam dapat disuburkan.

“Bagaimanapun, pihak kami sentiasa memantau dan memastikan setiap pendakwah agama yang hadir berceramah mesti menerima tauliah daripada Jabatan Agama Islam Negeri Perak (Jaipk), berkelayakan dan memainkan sentimen politik keterlaluan dalam ceramah.

“Dalam aspek ini, Mohd Kazim atau lebih dikenali Ustaz Kazim semestinya memenuhi kriteria ditetapkan dan pihak kami langsung tiada masalah jika ada mana-mana kariah masjid dan surau hendak menjemput beliau,” katanya kepada media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pejabat Agama Islam dan Adat Melayu Parit Buntar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas dakwaan Ustaz Kazim dalam kenyataan medianya semalam mengatakan pihaknya kurang menerima jemputan berceramah dari mana-mana masjid dan surau di negeri ini.

Ustaz Kazim dalam kenyataannya turut merasakan terdapat sekatan pihak tertentu yang cuba menghalangnya dari menerima undangan berceramah sejak kebelakangan ini.

Keadaan itu didakwanya menjadi faktor utama Ustaz Kazim berdepan masalah kewangan hingga terpaksa memutuskan untuk menjual Pusat Tahfiz Darul Barakah di Pusat Pendidikan Al Barakah, Manjoi minggu ini.

Mengenai isu tawaran penjualan sebahagian Pusat Pendidikan Al Barakah itu oleh Ustaz Kazim, Khairul Nizam mengakui inisiatif mewujudkan sebuah pusat tahfiz atau madrasah agama bukan perkara mudah.

Di sebalik reaksi bercampur dilontarkan golongan netizen terhadap isu itu, Khairul Nizam meminta usaha mewujudkan pusat tahfiz di negara ini oleh pelbagai tokoh agamawan prihatin perlu diberi sokongan padu semua pihak.

“Mungkin ada yang dakwa kewujudan pusat tahfiz dan madrasah agama tumbuh bagai cendawan dan tidak terkawal menyebabkan ada institusi pendidikan agama tersebut yang mengabaikan kebajikan pelajar atau digunakan untuk kepentingan peribadi.

“Bagaimanapun, masyarakat di luar sana perlu menyedari cabaran sebenar mana-mana pihak untuk mewujudkan madrasah agama atau tahfiz jauh lebih besar daripada yang disangka,” katanya.

Secara peribadi, Khairul Nizam menggesa semua pihak perlu sokong usaha murni setiap pengusaha pusat tahfiz tanpa perlu bersikap prejudis dan andaian berat sebelah.

“Cuma mungkin kerajaan pusat atau negeri boleh beri lebih perhatian kepada mana-mana pusat tahfiz bermasalah untuk diperkasa dan ditambah baik.

“Lagi satu, pertumbuhan pusat tahfiz dan madrasah agama yang begitu banyak juga dilaksanakan atas permintaan golongan ibu bapa masa kini yang mempunyai peningkatan kesedaran terhadap kepentingan ilmu agama,” katanya.