BAGAN SERAI - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian mengukir sejarah tersendiri apabila terpilih sebagai IPD kedua terbaik di negeri Perak dalam mencatatkan peningkatan penyelesaian kes jenayah selepas IPD Pengkalan Hulu, bagi tahun 2012.

Sehubungan itu, IPD Kerian menetapkan sasaran untuk mengurangkan lagi kadar jenayah pecah rumah, kecurian motosikal dan kes ragut yang dikenal pasti semakin meningkat di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, indeks jenayah di daerah ini didapati mencatatkan penurunan memberangsangkan 14.13 peratus sejak dua tahun lalu apabila jenayah kekerasan mencatatkan penurunan sebanyak 28.77 peratus pada tahun 2012 berbanding 2011, manakala indeks jenayah harta benda menurun 10.6 peratus.

Menurutnya, peratusan penyelesaian kes jenayah kekerasan turut mencatatkan peningkatan membanggakan sebanyak 24.35 peratus, dengan sejumlah 44 daripada 52 kes berjaya diselesaikan meliputi 84.62 peratus pada tahun 2012 berbanding 44 daripada 73 kes pada tahun 2011.

“Daripada statistik polis, kes bunuh, samun tanpa senjata api, rogol dan ugutan mencatatkan penurunan ketara, namun polis mengenal pasti samun berkawan tanpa senjata api ada mencatatkan peningkatan kes.

“Keseluruhannya, jenayah di daerah ini tidak keterlaluan berbanding daerah lain masih boleh dikawal dengan kerja keras beberapa program yang perlu dipertingkatkan seperti Komuniti Kepolisan dan sebagainya,” katanya pada sidang media Majlis Perbarisan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-206 tahun 2013 peringkat daerah Kerian di sini, semalam.

Mat Fauzi berkata, selain jenayah kekerasan, jenayah harta benda turut mencatatkan penurunan sebanyak 32 kes meliputi 10.6 peratus, dengan sejumlah 189 daripada 270 kes berjaya diselesaikan meliputi 70 peratus pada 2012, berbanding sejumlah 225 daripada 302 kes pada tahun 2011.

Menurutnya, polis mengenal pasti jenayah ragut mencatatkan sedikit peningkatan berbanding tahun sebelumnya manakala indeks jenayah curi jentera berat mencatatkan pengurangan ketara.

“Keseluruhannya, polis berpuas hati dengan kemampuan anggota IPD Kerian dalam melaksanakan tugas mengawal keselamatan di daerah ini dan percaya prestasi ini akan dapat dipertingkatkan,” katanya.

Mengenai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13, Mat Fauzi menegaskan jentera polis sudah bersiap-sedia.

“Jentera polis diperkukuhkan lagi dengan persiapan latihan ballot yang dilaksanakan di seluruh negara tempoh hari dan hanya menunggu masa perlaksanaan pilihan raya.

“Setakat ini, polis masih tidak menerima sebarang laporan polis mengenai sebarang kegiatan provokasi yang berlaku dalam kalangan parti-parti politik menjelang PRU, bagaimanapun kita percaya kes sebegini akan mula berleluasa sebaik sahaja pembubaran Parlimen dibuat,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • IPOH - Polis Perak menasihati orang ramai supaya tidak panik dengan pergerakan anggota dan kenderaan berat secara serentak seluruh kontinjen negeri itu selama dua hari bermula hari ini.
  • KUALA LUMPUR - Seorang pegawai kanan polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai terbabas selepas melanggar bonggo di Jalan Lingkungan Alam Damai, di sini malam tadi.
  • KAMPUNG KUALA PING - Kedukaan mangsa banjir, di sini, sedikit terubat apabila warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu turun padang mengadakan gotong-royong membersihkan kediaman mereka, semalam.
  • KUALA LUMPUR - Tiga anggota polis antara empat individu ditahan bagi membantu siasatan kes samun seorang lelaki di sebuah premis di Rawang, dekat sini, pada 12 November lepas.
  • KUALA LUMPUR - Satu objek yang disyaki janin manusia dijumpai di dalam longkang di sebuah blok Flat PKNS SS8, Petaling Jaya di sini, semalam.