IPOH - Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Kampung Columbia, Ayer Tawar, Manjung perlu dipindahkan segera susulan hasil pemeriksaan Jabatan Kesihatan negeri pada 5 Julai lalu yang mendapati sekolah itu menjadi tempat pembiakan tikus yang semakin serius.

Pengerusi Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri A Sivanesan berkata, keadaan ini dikhuatiri mendedahkan 60 murid serta 10 guru di sekolah itu kepada risiko kencing tikus.

Katanya, laporan itu menemukan kesan gigitan tikus, najis dan bau air kencing tikus di sekitar kawasan sekolah selain sebanyak 10 lubang tikus telah dikenal pasti di ruang stor, kelas pantri dan kelas komputer di sekolah tersebut.

"Oleh itu, lokasi dan bangunan tidak sesuai sebagai sekolah memandangkan kawasan itu dikelilingi pokok kelapa sawit dan semak samun yang menjadi tempat pembiakan tikus.

 “Ia dikhuatiri bilangan tikus akan terus meningkat dan sekolah ini perlu dipindahkan ke tempat yang lebih sesuai dengan kadar segera," katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Sehubungan itu, Sivanesan berharap Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengambil perhatian serius terhadap masalah  yang membelanggu sekolah itu  sejak 10 tahun lalu.

"Saya berharap menteri beri perhatian secepat mungkin untuk memindahkan sekolah ini dan tidak boleh tunggu sehingga sesuatu yang tidak diingini terjadi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sivanesan berkata, kes denggi di negeri ini mencatatkan penurunan 63.3 peratus atau 1,321 kes bagi tempoh 1 Januari hingga 2 Jun lalu, berbanding 3,598 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya sepanjang tempoh itu, tiga kes kematian dilaporkan akibat denggi berbanding enam kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, tiga lokaliti dikesan sebagai kawasan wabak denggi yang masih aktif di negeri ini  di Kampung Merawan Indah, Ipoh iaitu sebanyak 15 kes; Changkat Keruing, Manjung mencatatkan sepuluh kes serta Jalan Putra di Teluk Intan pula merekodkan tujuh kes. - Bernama