GUNONG SEMANGGOL - Hajat seorang lelaki memecah masuk sebuah rumah sarang burung untuk mencuri hasil sarang burung tidak kesampaian apabila dia dicekup orang awam sebelum diserahkan kepada polis dalam kejadian di Kampung Parit Kualoh, Sungai Kepar di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian jam 6.18 pagi, semasa pengadu berada di rumah di kawasan berhampiran lokasi kejadian, dia menerima mesej penggera melalui telefon pintar yang memaklumkan sistem penggera keselamatan di rumah sarang burung miliknya sudah diceroboh.

Menurutnya, pengadu berusia 47 tahun terus pergi ke rumah sarang burung tersebut dan mendapati pintu pagar hadapan sudah terbuka.

"Kemudian pengadu nampak kelibat orang keluar dari pintu utama rumah sarang burung dan berlari ke tepi kanan bangunan rumah sarang burung.

"Pengadu ditemani beberapa rakan terus kejar dan tangkap suspek yang mana pada masa itu berlaku pergelutan sebelum itu.

"Kemudian rakan pengadu bertindak menghubungi anggota Balai Polis Semanggol untuk mendapatkan bantuan," katanya kepada media di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, lebih kurang jam 7.30 pagi, anggota polis tiba ke lokasi kejadian dan bertindak membuat tangkapan semula ke atas suspek yang sudah diikat dengan tali.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berusia 32 tahun, merupakan orang tempatan dan dipercayai berseorangan melakukan perbuatan itu.

"Pemeriksaan ke atas suspek mendapati ada kesan luka di bahagian dahi, lutut kiri dan siku kiri.

"Polis turut merampas sebuah beg silang yang terdapat pada badan suspek dan siasatan menemui satu objek menyerupai sepucuk pistol yang telah pecah berwarna hitam, plastik berisi sarang burung, sebuah telefon pintar dan pelbagai peralatan pecah rumah," katanya.

Omar Bakhtiar berkata, setakat ini, jumlah kerugian ditanggung pengadu masih tidak dapat dikenal pasti.

Menurutnya, suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kerian dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Parit Buntar untuk mendapatkan tempoh lanjutan reman.

"Hasil siasatan awal turut mendapati suspek mempunyai dua rekod kesalahan jenayah lampau melibatkan kes dadah dan curi motorsikal.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah dan mencuri," katanya.