IPOH - Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menjelaskan komitmen yang banyak dalam usaha memajukan negeri antara faktor beliau tidak dapat memenuhi undangan pelbagai pihak untuk menghadiri program-program yang dianjurkan mereka.

"Sekarang kita terlalu tergesa-gesa untuk membuat pelbagai program dalam usaha memajukan negeri, jadi saya ambil pendekatan untuk memberi fokus kepada tugasan terutama untuk bekerjasama dengan kementerian-kementerian di peringkat Persekutuan.

"Ini untuk memastikan projek-projek pembangunan di Perak dapat diteruskan. Itu yang saya utamakan dan mungkin kerana itu ada program yang saya tidak dapat hadir," katanya kepada media selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam peringkat negeri Perak 2018 di sini, semalam.

Penganjuran majlis kali ketujuh itu disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Institut Tadbiran Islam Perak (Intim).

Ahmad Faizal yang juga Anggota Dewan Undangan Chenderiang serta Anggota Parlimen Tambun diminta mengulas keluhan pelbagai pihak susulan kegagalan beliau hadir ke beberapa program yang diadakan.

Menurut Ahmad Faizal banyak penganjur program mengumumkan  lebih awal akan kehadirannya walaupun beliau belum memberikan persetujuan untuk berbuat demikian.

"Maka tanpa hendak kecilkan hati, saya menghantar wakil kerana tidak dapat pergi kerana memang tidak bagi persetujuan dan ada beberapa program yang terpaksa saya batalkan kerana ada perkara lebih penting," katanya. - Bernama