KOTA SETIA - Lebih 200 penduduk mukim Kota Setia membantah pembinaan sebuah kilang kelapa sawit di Sungai Ranggam, di sini yang didakwa boleh mendatangkan pelbagai implikasi buruk kepada kawasan itu.

Bantahan itu disuarakan menerusi perhimpunan aman di tapak kilang yang didakwa tidak mempunyai sebarang kelulusan daripada pihak berkaitan, hari ini.

Pembinaan kilang itu dikatakan bakal menjejaskan pendapatan kira-kira 400 nelayan darat melibatkan 15 kampung di kawasan itu.

Ketua Kampung Kota Setia, Mohd Azahari Mohd Nor berkata, pihaknya tidak bersetuju pembinaan kilang kelapa sawit di kawasan itu kerana dikhuatiri menjejaskan ekosistem sungai yang menjadi sumber rezeki kepada nelayan darat. 

Menurutnya, perkara itu turut diakui penduduk di kawasan lain yang menerima kesan daripada pembinaan kilang seumpama itu.

“Kami mendapat maklumat daripada penduduk di kawasan Lekir yang juga ada kilang kelapa sawit mengatakan kawasan sungai di situ turut terjejas dan punca pendapatan mereka semakin susut.

“Sisa dari kilang dialirkan ke dalam sungai dan kesannya hidupan air seperti ikan dan udang semakin berkurangan,” katanya.

Beliau berkata, segala bantuan kerajaan melibatkan pelepasan benih ikan dan udang menjadi sia-sia sekiranya sisa dari kilang kelapa sawit dilepaskan ke sungai atau habitat hidupan berkenaan.

“Kita sangat berharap pembinaan kilang ini dihentikan terus kerana penduduk di sini bergantung sepenuhnya kepada hasil sungai.

“Jika ekosistem terancam pastinya kami menerima akibatnya di mana sumber pendapatan kami terjejas,” katanya.

Nelayan darat, Mohd Azli Razali, 35, pula berkata, mereka bersepakat membantah pembinaan kilang itu yang dilihat bakal menjejaskan pendapatan nelayan.

“Kami mahu pembinaan kilang ini dihentikan segera kerana lokasinya tidak sesuai kerana terlalu berdekatan dengan sungai.

“Jika kilang ini dibina di sini kami risau masalah pencemaran sungai akan berlaku sedangkan kami nelayan darat di sini bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan ikan dan udang.

“Mungkin dalam tempoh setahun dua operasi, kilang ini boleh mengikut peraturan namun selepas itu mereka akan menyalurkan sisa buangan ke dalam sungai kerana pemantauan sudah tentu tidak dapat dilakukan selama 24 jam,” katanya.

Menurutnya, amat menyedihkan jika pembinaan kilang itu diteruskan pastinya kehidupan lebih 400 nelayan darat itu bakal terjejas. 

Katanya, dia dan nelayan lain amat berharap pembinaan kilang itu segera dihentikan tidak mahu kehilangan sumber pendapatan.

“Masalah sekarang melibatkan pencemaran sungai sudah banyak berlaku dan jika terbinanya kilang ini bertambah lagi masalah berkenaan,” katanya.

Seorang lagi nelayan, Mohd Shahrom Azman, 35, berkata, pembinaan kilang itu boleh menjejaskan alam sekitar dan menyebabkan sungai tercemar. 

“Kami bergantung hidup dengan menangkap hasil sungai iaitu ikan dan udang di mana di kawasan ini banyak terdapat udang galah.

“Jika adanya kilang dan begitu hampir dengan sungai, pastinya ia bakal menjejaskan sumber pendapatan kami apabila air sungai menjadi keruh dan hitam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Pasir Salak, Dr Faizal Tajuddin berkata, pembinaan kilang itu menimbulkan persoalan banyak pihak kerana tapak tanah kilang berkenaan didakwa tidak mendapat sebarang kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

“Kita telah membuat semakan dan mendapati tanah ini masih lagi berstatus tanah pertanian dan bukan perindustrian, jadi bagaimana ia boleh dibina sebuah kilang.

“Masing-masing sedia maklum di sini terdapat lebih 400 nelayan darat yang bergantung hidup dengan hasil sungai, apabila adanya kilang yang dibina hampir dengan sungai telah menimbulkan keresahan penduduk.

“Mereka khuatir air sungai terjejas apabila adanya aliran sisa buangan kilang ke dalam sungai kelak,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu juga menimbulkan kerisauan semua pihak kerana tapak bersebelah kilang itu bakal menjadi tapak rumah generasi kedua iaitu golongan belia.

“Jadi kami berasakan sangat tidak sesuai jika adanya kilang dibina di sini sedangkan bersebelahannya akan dibangunkan tapak rumah generasi kedua yang sudah lama kami perjuangkan.

“Kami mengambil keputusan untuk membantah pembinaan kilang ini sama ada ia mendapat kelulusan atau tidak memandangkan banyak implikasi negatif bakal diterima.

“Pihak kami juga sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana kilang ini masih berani membinanya di sini sedangkan tidak ada kelulusan,” katanya.

Mengulas mengenai bantahan penduduk, wakil kilang yang ditemui, Sharudin Ariff berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Penghulu, Ketua Kampung dan penduduk setempat bagi mengadakan perbincangan untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung perkara itu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SELINSING - Penantian lebih 200 komuniti nelayan darat Kampung Sungai Protan dan Sungai Baru, di sini memohon kawasan muara Sungai Protan dan Sungai Baru diperdalamkan bagi kemudahan aktiviti menangkap ikan akhirnya ditunaikan Jabatan Pengairan dan Saliran(JPS) Kerian dengan perlaksanaan projek tersebut bernilai keseluruhan hampir RM300,000.
  • KULAI - Amanah Johor mendakwa kecewa apabila tiada tindakan serius diambil oleh Kerajaan Negeri Johor berhubung pencemaran sungai di negeri itu.
  • KOTA BHARU - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri mengambil tindakan segera berhubung isu kegusaran penduduk Sungai Melor dengan menjalankan pembersihan Sungai Melor dengan peruntukan kira-kira RM30,000.
  • TUMPAT - Bimbang berlakunya hakisan, kehadiran kapal sedut pasir terlalu hampir dengan tebing meresahkan penduduk Kampung Laut.
  • KOTA KINABALU - Paras air dua daripada tiga sungai utama di Kota Belud melepasi paras amaran menyebabkan 13 kampung dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat sejak kira-kira jam 3.20 petang ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.