MALIM NAWAR - Hanya kerana mahu cepat ke sekolah, beberapa pelajar di sekitar pekan Malim Nawar sanggup mempertaruhkan nyawa melintas landasan kereta api sebagai jalan pintas.

Dalam tinjauan yang dibuat penduduk sekitar jam 7 pagi semalam, lebih kurang 10 pelajar sekolah termasuk pelajar perempuan dilihat memanjat pagar untuk menyeberangi landasan berkenaan sedangkan tidak jauh dari situ terdapat jejantas.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Miza, 42, mendakwa, perbuatan itu bukan lagi baharu kerana beberapa orang penduduk pernah melihatnya sebelum ini.

Dakwanya, pelajar terbabit akan meletakkan motosikal dan basikal mereka di tempat yang disediakan sebelum memanjat pagar untuk melintas.

“Orang kampung dah bagi nasihat tapi mereka tetap melintas. Bila ditegur mereka jawab tren lambat lagi lalu. Kita bimbang kejadian tak diingini berlaku kerana malang tak berbau.

“Saya minta pihak berkaitan melihat keadaan ini secara serius walaupun sudah dipagar tapi perlu pemantauan. Ibu bapa juga perlu nasihatkan anak mereka sebelum perkara buruk berlaku. Nanti bila jadi apa-apa tak boleh nak salahkan sesiapa,” katanya kepada Sinar Harian.

Miza berkata, dia turut mendapat maklumat selain pelajar sekolah, ada juga penduduk kampung melintas landasan tersebut.

Katanya, landasan itu dilalui Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) dari Kuala Lumpur ke Ipoh dan kelajuannya boleh menyebabkan kematian jika berlaku kemalangan.

Dalam pada itu, keadaan berbahaya itu turut dikongsi di Twitter oleh TwtMalimnawar yang mahu tindakan diambil oleh pihak berkaitan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Adun Malim Nawar, Leong Cheok Keng ketika dihubungi berkata, pihaknya pernah menerima aduan berhubung isu tersebut tiga tahun lalu selepas itu tiada aduan diterimanya.

Menurutnya, memandangkan terdapat aduan terbaru yang dimaklumkan, pihaknya akan menulis surat kepada pihak Keretapi Tanah Melayu (KTM) untuk melihat kembali keadaan pagar landasan berkenaan.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan jejantas yang disediakan kerana tindakan melintas landasan itu bukan sahaja membahayakan tetapi turut menyalahi undang-undang.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KAMPAR - Kerajaan negeri memandang serius tindakan pelajar sekolah menceroboh kawasan landasan kereta api di Malim Nawar untuk melintas ke sekolah berdekatan.
  • BENTONG - Kajian pembinaan landasan kereta api pantai timur dari Kuala Lumpur ke Kuantan melibatkan perincian khusus mengenai kos pembinaan dan kesan ekonomi kepada penduduk setempat kini di peringkat akhir.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.