IPOH - Bersatu Perak menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti untuk menerima atau sebaliknya kemasukan bekas  pemimpin serta ahli Umno dan BN ke dalam parti itu.

Pengerusi Pakatan Harapan negeri, Ahmad Faizal Azumu berkata, Bersatu melaksanakan dasar iaitu segala permohonan kemasukan baharu akan diproses dan ditentukan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan bukannya di peringkat negeri.

“Bagi Bersatu negeri, kalaulah ada permohonan daripada sesiapa untuk menjadi ahli Bersatu, kami akan serahkan kepada pucuk pimpinan untuk menerima atau menolaknya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Tambun Berhari Raya Bersama Pakatan Harapan yang dihadiri kira-kira 5,000 orang di Tanjung Rambutan di sini ,hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang akan menyertai Bersatu selepas bertindak keluar Umno dan BN berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Azmi yang memenangi kerusi Parlimen itu atas tiket BN pada PRU14 dengan majoriti 172 undi, turut mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kepimpinan Pakatan Harapan serta Ahmad Faizal.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata beliau tidak tahu menahu mengenai tindakan Dr Noor Azmi yang mahu keluar parti kerana tidak pernah pernah berhubung dengan anggota Parlimen Bagan Serai itu mengenai perkara tersebut.

“Saya sesungguhnya tidak mengetahui keputusan yang beliau buat tetapi saya yakin itu keputusan beliau  sendiri dan saya berterima kasih kepada beliau kerana menyatakan sokongan kepada saya sebagai menteri besar,” katanya. - Bernama