PARIT - Kegembiraan jelas terpancar di wajah seorang remaja perempuan apabila dimaklumkan kos pembedahan memasukkan besi di kaki kirinya sudah mencukupi dan bakal menjalani pembedahan Disember ini.

Sufi Sumayyah Azmi, 13, yang menyimpan hasrat agar kakinya dapat dirawat selepas disahkan mengalami pertumbuhan tulang punggung tidak sempurna sejak lahir, berasa terharu atas keprihatinan rakyat Malaysia yang memberi sumbangan selepas beritanya disiarkan Sinar Harian bulan lalu.

Menurut Sufi Sumayyah, dia bersyukur atas anugerah dan rezeki  ALLAH SWT buatnya melalui sumbangan orang ramai untuk melihat dia berjalan seperti rakan sebayanya yang normal.

"Alhamdulillah terima kasih kepada semua yang sudi membantu saya mengumpul wang untuk pembedahan dan meringankan beban ibu saya yang bersusah payah membesarkan kami.

"Harapan saya selepas pembedahan nanti saya dapat menjalani kehidupan seperti biasa dan membantu ibu agar nasib keluarga kami dapat diubah untuk kehidupan yang lebih baik," katanya ketika menerima sumbangan kerusi roda dari orang ramai di Pejabat Sekolah Menengah Kebangsaan (SK)  Dato' Abdul Rahman Yaakub (SMKDARY) Bota Kanan, semalam.

Ibunya, Rohani Muhammad Hayat, 36, turut mengalir air mata ketika menerima kunjungan pemberita bersama Aktivis Sosial, Rohaidatul Asma Jusoh bagi menyampaikan sumbangan kerusi roda buat kegunaan Sufi Sumayyah selepas pembedahan nanti.

Menurut Rohani sumbangan orang ramai memberi peluang kepada anak keduanya itu mempunyai masa depan yang cerah selain tidak berasa rendah diri dengan kekurangannya.

"Saya tahu dia malu bila terpaksa menjengket berjalan tetapi dia tidak mahu membebankan saya yang hanya menjual lemang sebagai pendapatan membesarkan anak-anak selepas bercerai dengan suami.

"Alhamdulillah dan terima kasih saya ucapkan kepada Rohaidatul Asma, individu yang menyumbang kerusi roda buat Sufi, pihak SMKDARY dan juga Sekolah Kebangsaan Iskandar Perdana (SKIP), Seri Iskandar dan orang ramai yang memberi sumbangan membantu Sufi," katanya.

Sementara itu, Pengetua SMKDARY, Bainah Abdollah berkata, pihaknya sedia maklum mengenai keadaan Sufi Sumayyah yang memerlukan sumbangan untuk pembedahan selepas dimaklumkan oleh ibunya.

"Kami telah melancarkan kutipan derma dan Alhamdulillah ia diserahkan dua kepada ibunya dua minggu selepas berita mengenai mereka memerlukan sumbangan orang ramai disiarkan di dalam akhbar.

"Pihak sekolah juga turut melancarkan kutipan kedua buat Sufi Sumayyah dan ia akan diberikan sebelum dia menjalani pembedahan buat perbelanjaan mereka di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) nanti," katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan Sufi Sumayyah memerlukan sumbangan RM6,270 bagi menjalani pembedahan memasukkan besi di kaki kirinya kerana dikhuatiri tulangnya berubah kedudukan ke arah kemaluannya.