KUANTAN - Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Malaysia Pahang (UMP) mencipta kerusi khas untuk kanak-kanak OKU yang menghidap Cerebral Palsy, Muhammad Adam Ayrash Abdullah, 8.

Kerusi khas yang dinamakan Adam’s  Chair  dihasilkan sekumpulan pereka terdiri mahasiswa dan pensyarah UMP yang disiapkan dalam tempoh sebulan.

Adam’s  Chair  yang dilengkapi papan meja mudah alih, sistem brek dan kunci, tempat duduk yang selesa serta ciri–ciri keselamatan yang lain membantu Muhammad Adam Ayrash menjalani kehidupan harian dengan lebih selesa.

Murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK)  Serandu, Pekan menghidap penyakit ketidakupayaan mengawal pergerakan otot itu sejak lahir.

Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar FKM, Prof Madya Ir Dr  Nik Mohd Zuki Nik Mohamed berkata, Adam’s  Chair yang direka khas bagi kemudahan Adam selari dengan usaha UMP dalam agenda memasyarakatkan teknologi yang dilaksanakan untuk memanfaatkan masyarakat setempat.

Menurutnya, idea menghasilkan kerusi khas itu  bermula ketika lawatan pihak UMP ke SK Serandu.

“Pihak kami dimaklumkan  mengenai situasi Adam yang menghidap Cerebral Palsy dan memerlukan kerusi yang bersesuaian untuk kegunaan pelajar itu.

“Selepas beberapa kali berbincang dengan  pihak sekolah, Adam’s Chair ini berjaya dihasilkan dan diserahkan kepada pelajar ini,”katanya ketika melawat Adam dan menyerahkan kerusi itu, kelmarin.

Nik Mohd Zuki berkata, pihaknya juga sedang  berusaha untuk menghasilkan alat bantuan latihan berjalan untuk kegunaan Adam di sekolah.

“Bantuan ini diharap dapat memberi harapan dan semangat kepada Adam dan keluarganya,” katanya.