KUANTAN - Walaupun sudah berumur15 tahun, seorang remaja kelihatan seperti kanak-kanak berusia 3 tahun berikutan tumbesarannya terbantut setelah diserang demam panas.

Mohd Badrul Hisham tidak mampu berjalan mahupun bercakap dan hanya mampu terlantar sejak diserang demam panas ketika berusia tujuh bulan walaupun normal ketika dilahirkan.

Remaja malang tersebut yang dikenali Syam oleh ahli keluarganya hanya mampu merengek seperti anak kecil dan bergantung sepenuhnya kepada ibunya, Rosli Ramli, 52 untuk menguruskan segala keperluan dirinya.

Ibunya berkata, dia terpaksa menguruskan anak bongsu daripada enam beradik itu sama seperti bayi termasuk dipakaikan lampin dan diberi makan makanan bayi.

Menurutnya, anaknya tidak boleh menjamah makanan pejal dan hanya diberi makanan lembut seperti nestum atau bubur yang dikisar, menyebabkan badannya berubah menjadi kurus dan hanya mempunyai berat kira-kira 20 kilogram.

“Segalanya berubah apabila dia diserang demam panas sehingga menyebabkan Syam lumpuh dan cacat.

“Doktor mengesahkan anak saya  menghidap sejenis penyakit Cerebral Palsy (lumpuh otak),” katanya semasa menerima kunjungan dan sumbangan daripada ahli Badan Kebajikan Kemanusiaan Mukim Sungai Karang/Beserah (Bakkis) yang diketuai Yang Dipertuanya, Wan Azlan Wan Salleh di rumahnya di 568, Lorong 18 Tanah Putih Baru di sini, kelmarin.

Turut hadir, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohamed Suffian Awang yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuantan.

Ditanya perasaannya, Rosli mengakui hatinya remuk melihat nasib yang dialami anaknya kerana tidak mampu bersekolah seperti remaja lain.

“Kami sudah mencuba pelbagai cara termasuk menggunakan perubatan alternatif untuk mengubati penyakit Syam, namun keadaannya tidak berubah dan mahu tidak mahu terpaksalah kami sekeluarga menerima keadaannya.

“Tidak sukar menjaga Syam kerana dia hanya akan merengek atau menangis sekiranya lapar ataupun berasa tidak selesa. Hanya saya dan suami boleh mengangkatnya kerana anak-anak lain tidak berani berbuat demikian kerana keadaan tubuhnya lemah dan lembik,” katanya.

Paling mengejutkan, remaja terbabit masih tidak mempunyai kad pengenalan (Mykad) dan hanya menggunakan sijil kelahiran sebagai dokumen diri.

“Abang dia pernah ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) untuk memohon Mykad, namun pegawai bertugas ketika itu tetap menyuruh anak saya, Syam hadir ke pejabat.

“Dengan situasi yang dialami dan ketiadaan kenderaan sendiri, bagaimana saya ingin membawanya dan sehingga kini, permohonannya untuk mendapatkan Mykad masih tertangguh,” katanya.

Rosli berkata, anaknya ada menerima bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun ia tidak mencukupi untuk menampung keperluannya termasuk ubat-ubatan, susu dan lampin pakai buang.

Menurutnya, suaminya, Mahmud Awang, 56, hanya bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan RM700 sebulan.

Sementara itu, Mohamed Suffian menggesa JPN turun padang ke rumah keluarga Syam untuk menguruskan proses permohonan MyKadnya.

Beliau berkata, JPN seharusnya bertolak ansur dan prihatin dengan keadaan remaja itu yang mempunyai pergerakan terbatas dan keluarganya tidak mampu untuk membawanya ke pejabat JPN.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Bagi menanam semangat cintakan negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan Negara yang ke 60 hari ini, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Indera Sempurna Fasa 1A mengambil inisiatif memasang Jalur Gemilang secara gotong-royong.
  • KUANTAN - Kedatangan musim durian saban tahun antara Ogos dan September, di Kampung Jeram, Beserah di sini sememangnya dinanti-nantikan penduduk mahupun orang luar yang ingin merasai keenakan durian kampung di situ.
  • KUANTAN - Bagi menanam semangat cintakan negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan Negara yang ke 60 hari ini, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Indera Sempurna Fasa 1A mengambil inisiatif memasang Jalur Gemilang secara gotong-royong.
  • KUANTAN - Kesulitan dan ketidakselesaan dialami pasangan suami isteri ekoran keadaan rumah pusaka yang didiami kini terlalu uzur bakal berakhir.
  • KUANTAN - Kerajaan bercadang untuk membangunkan Bandar Perikanan di beberapa lokasi berpotensi yang dikenal pasti.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.