BERA - Teka-teka calon Pakatan Harapan (Harapan) yang bakal bertanding di kerusi N39 Kemayan terjawab apabila nama itu diumumkan Ahad lalu oleh Pengerusi Badan Perhubungan Bersatu Negeri, Wan Mohd Shaharir Wan Abd Jalil.

Selama dua penggal, kerusi yang sebelum ini milik PKR kini bertukar tangan kepada Bersatu.

Calon berkenaan ialah peneroka Felda Triang 1, Mohamed Jidi Yaakob.

Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Pahang, Zakaria Abdul Hamid berkata, walaupun ada dalam kalangan ahli mereka terkejut dengan pengumuman tersebut, namun setakat ini mereka akur dengan keputusan yang dibuat oleh pentadbiran pusat.

“Keputusan ini bukan sesuatu yang luar biasa sebab menjelang PRU ni macam-macam boleh berlaku. Tapi, pemilihan calon Bersatu yang mengisi kerusi Dun KemayanPakatan Harapan berdasarkan konsep ‘swap’ atau bertukar kerusi apabila PKR pula akan bertanding di Dun Jelai.

“Pemilihan itu juga berdasarkan faktor kebarangkalian Bersatu mampu membantu kemenangan Pakatan Harapan di Bera, selepas pihak pentadbiran pusat mengenal pasti senario politik di kawasan Bera ini sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Zakaria berkata, melihat senario politik di Bera ini, Harapan percaya mampu meraih kemenangan luar biasa.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Cabang PKR Bera memberitahu, pengumuman mengejutkan itu masih dapat mengawal emosi setiap ahli mereka, dan bersedia memberikan kerjasama dengan semua parti di bawah Pakatan Harapan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pakatan Harapan Pahang, Leong Yu Man berkata, siapa pun yang diumumkan sebagai calon, pihaknya akur dan menghormati dengan keputusan itu.

Menurutnya, pihaknya belum menerima maklumat rasmi berkaitan perkara itu secara rasmi, dan hanya membaca melalui media.

“Itu keputusan pusat, dan kita kena akur. Sebab, apa yang ditetapkan afalah yang difikirkan terbaik untuk Bera.

“Sama ada calon ini terus dikekalkan sehingga pafa hari penamaan calon atau mungkin bertukar calon, DAP tiada masalah dengan perkara itu asalkan calon di kerusi itu dapat mengalahkan parti lain,” katanya.