FELDA TRIANG 3 - 'Rumah dah siap, pahat masih berbunyi' itulah keadaan yang berlaku terhadap Dewan Semai Bakti di sini apabila kerja-kerja pembinaannya dilakukan tidak sempurna sehingga penduduk menzahirkan kekecewaan.

Seorang penduduk, Samsul Bahari, 34, berkata, dewan tersebut telah siap kira-kira setahun lalu, namun perkarangan dewan masih tidak berturap selain tebing sudah runtuh menyebabkannya masih belum boleh digunakan.

Katanya, perkara tersebut sudah dimaklumkan kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) dan pihak pengurusan Felda, tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas positif.

“Hari ini (semalam), akhirnya dewan ni digunakan buat pertama kali untuk Majlis Sambutan Aidilfitri walaupun keadaannya kurang sempurna dan kurang selamat. Dah setahun siap, kalau dibiarkan nanti ada pula masalah lain timbul. Lagi rugi, jadi lebih baik guna dalam keadaan begini,” katanya.

Sementara itu Nazri Jailani, 34, berkata, perkarangan dewan itu hanya diletakkan batu kerikil dan kini telah ditumbuhi rumput sehingga menampakkan dewan ini umpama projek gajah putih.

Meskipun keadaan sedemikian katanya, semua penduduk berharap kerja-kerja tertangguh ini  diselesaikan segera bagi memastikan dewan ini menjadikan salah satu mercu tanda tanah rancangan di sini.

“Buat kerja biarlah sampai siap. Kita kecewa bila keadaan macam ni berlaku,” katanya.

Jeffridin Yusof, 51, pula berkata, tebing berdekatan bangunan itu juga telah runtuh sekali gus menyebabkan pagar roboh dan saluran longkang tertutup.

Apabila hujan katanya, air gagal mengalir sempurna dan menyebabkan perkarangan dewan menjadi becak.

“Kalau kami buat aktiviti di sini waktu cuaca elok, tiada masalah. Tapi kalau hujan, timbul masalah. Tebing ni dah lama runtuh. Tapi pihak berkenaan tak ambil tindakan baik pulih keadaan. Sekarang pagar pun dah roboh, kami harap masalah ini selesai segera,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA TINGGI - Penantian penduduk Kampung Lukut di sini, selama lebih 30 tahun untuk memiliki masjid baharu berakhir apabila kerajaan meluluskan peruntukan RM1 juta untuk pembinaan masjid tersebut.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.