BERA - Tiada apa yang lebih diharapkan seorang anak melainkan untuk melihat ibu yang terlantar dan ayah mengidap penyakit prostat kembali sihat.

Ibu tunggal, Zaharah Zamin, 44, berkata, ibunya Mariam Ahmad, 72, tidak mampu bergerak sendiri selepas terjatuh tiga tahun lalu sementara ayahnya Zamin Abdul Hamid, 75, masih menerima rawatan susulan dan menemui doktor setiap bulan.

“Keadaan mak kurang stabil sebab tulang belakangnya beralih selepas terjatuh dulu. Mak kena duduk atas kerusi roda kalau nak gerak ke mana-mana. Sekarang pun dah kena pakai lampin pakai buang. Jadi, dia terpaksa habiskan masanya di atas katil.

“Ayah pula mengidap prostat sejak sembilan tahun dulu. Walaupun sakit tapi dia tetap kuat semangat demi mak,” katanya pada Program Ziarah Ukhuwah anjuran Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), di sini.

Hadir sama, Adun Kemayan, Datuk Mohd Fadil Osman dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Wan Hamdan Wan Ab Habibi.

Menurutnya, kedua ibu bapanya tidak menerima sebarang bantuan dari mana-mana pihak namun dibantu anak-anak yang turut menguruskan segala keperluan.

“Saya juga tolong mana yang patut dan besarkan tiga orang anak seorang diri selepas suami meninggal dunia. Tapi Alhamdulillah, saya dapat bantuan Perkeso setiap bulan dan duit itulah saya guna untuk menguruskan anak-anak.

“Bagaimanapun, saya menghargai keprihatinan semua pihak yang datang ziarah mahupun yang pernah menghulurkan sumbangan. Sedikit sebanyak, itu menceriakan perasaan kedua orang tua saya,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Akibat tersilap langkah, seorang ibu tunggal akhirnya menanggung hutang lebih RM14,000 dengan keluarga terdekat selepas diperdaya sindiket pinjaman wang.
  • SKUDAI - “Susah macam mana pun, saya mahu kesemua anak saya berjaya menamatkan persekolahan mereka dan memperoleh masa depan yang cerah,” ujar Siti Fazilah Mohd Yatim, 36.
  • BESUT - Seorang ibu tunggal beranak tiga ditangkap bersama seorang lelaki sedang lalok dadah di sebuah rumah kosong dipenuhi sampah sarap di Kampung Sentosa, dekat sini pagi semalam.
  • KAJANG - Polis memberkas seorang wanita dipercayai melarikan seutas gelang tangan emas bernilai RM10,000 di sebuah kedai emas di Bangi Gateway, Bandar Baru Bangi pada 5 Ogos lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.