KUANTAN - Polis menafikan dakwaan bahawa pihaknya tidak bertindak terhadap kes penderaan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun oleh ibu kandungnya, pada 2016.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan dan menghantarnya kepada timbalan pendakwa raya untuk pertuduhan.

“Kita dah hantar kertas siasatan pada timbalan pendakwa raya untuk kes dibawa ke mahkamah...mereka (timbalan pendakwa raya) akan teliti kes sama ada cukup bukti dan sebagainya sebelum pendakwaan dijalankan.

“Tapi kes ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) oleh timbalan pendakwa raya mungkin atas alasan kekurangan bukti,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui media pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, hari ini.

Pada kejadian Ahad lalu, kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dengan beberapa kesan leban dan kecederaan lama dipercayai didera ibu kandungnya.

Hasil bedah siasat mendapati berlaku pendarahan pada saluran makanan mangsa yang disebabkan oleh pecah salur darah atau ulser pada esofagus akibat berlaku pukulan.

Akibat dari kes itu itu pasangan suami isteri berusia 29 dan 30 tahun direman seminggu bagi membantu siasatan kematian murid darjah empat terbabit.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, ibu kandung mangsa berusia 29 tahun itu pernah ditahan pada tahun 2016.

Menurutnya, penahanan terbabit kerana dipercayai mendera mangsa dan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Bagaimanapun, beliau berkata, apabila sesuatu kes diklasifikasikan sebagai NFA maka polis perlu membebaskan suspek.