TEMERLOH - Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) mengingatkan peniaga di bazar ramadan supaya menjaga kebersihan di tapak perniagaan masing-masing.

Yang Dipertua (YDP),Datuk Azlan Mohd Yaman memberitahu, tahun lalu MPT membelanjakan hingga RM50,000 untuk membersihkan lokasi yang terlibat sepanjang Ramadan.

Menurutnya, MPT menyediakan sebanyak 683 petak membabitkan lapan lokasi di seluruh daerah tahun ini.

“Setakat hari ini (semalam) kita tidak ada menerima kes ataupun kesalahan yang dilakukan oleh peniaga di bazar.

“Saya berharap peniaga terus peka menjaga kebersihan dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain mematuhi arahan menggunakan apron, penutup mulut dan menjaga kebersihan ketika penyediaan menu, beliau meminta peniaga khususnya penjual minuman menggunakan air masak ataupun yang ditapis.

Bagaimanapun, Azlan memberitahu pihaknya tidak menawarkan sebarang insentif atau anugerah kepada peniaga seperti yang pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.

Dalam pada itu, beliau meminta peniaga menggunakan peluang yang diberikan sebaik mungkin untuk meraih pendapatan sepanjang Ramadan.

“Ini kerana kita berjaya mengesan dua kes penyalahgunaan tahun lalu iaitu menjual dan menyewa petak kepada orang lain dengan kadar lebih mahal.

“Kita kesal dengan kejadian tersebut kerana ramai berebut dan benar-benar ingin mendapatkan petak.

“MPT juga menawarkan kadar sewa yang murah iaitu RM170-RM220 bagi setiap petak mengikut saiz,”jelasnya lagi.