KUALA ROMPIN - Pemeriksaan bagi mengesan kanser payudara yang dikatakan sakit hingga menyebabkan ramai wanita tidak mahu melakukannya adalah tidak benar sebaliknya ia amat penting supaya penyakit dapat dikesan pada peringkat awal.

Seorang penduduk, Hoo Su Lian, 56, berkata, ia hanya melibatkan sentuhan pada bahagian tertentu pada payudara itu tetapi tidak mendatangkan rasa sakit seperti yang digembar-gemburkan.

"Orang perempuan tak perlu takut pemeriksaan, lebih awal lebih bagus sebab boleh elak penyakit lambat dikesan. Saya nasihatkan kepada semua perempuan terutama yang masih muda, pergilah buat pemeriksaan dan jangan hiraukan kata-kata orang lain.

“Kadang-kadang kita ada rasa bimbang lagi-lagi bila ada rasa sakit, jadi eloklah pergi lakukan pemeriksaan. Harap-harapnya okeylah tapi kalau ada, boleh segera dapatkan rawatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pemeriksaan Payudara anjuran Rompin Care dengan kerjasama Majlis Kanser Negara (Makna) di Bandar Kuala Rompin, di sini, kelmarin.

Su Lian berkata, pemeriksaan itu dilakukannya kali kedua selepas yang pertama pada lebih 10 tahun lalu di sebuah hospital swasta di Kuantan.

“Saya datang ni sebab nak periksa semula, tiba-tiba ada rasa sakit jadi bila dapat tahu ada pemeriksaan begini dan percuma saya terus datang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program, Ahmad Sazili Md Nor yang ditemui berkata, program sedemikian julung kali diadakan dan mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada penduduk setempat.

"Program selama empat hari ini bermula di Bandar Kuala Rompin, kelmarin dan hari berikutnya dijadualkan di Perantau Damai, Felda Selancar 2 sebelum hari terakhir nanti di Felda Keratong 3.

"Pada program ini masyarakat setempat berpeluang mendapatkan khidmat daripada pegawai terlatih selain pemeriksaan mamogram bergerak secara percuma yang disediakan Makna namun dihadkan kepada beberapa orang sahaja bagi setiap satu jam," katanya.

Beliau berkata, statistik menunjukkan trend positif apabila ramai yang hadir melakukan pemeriksaan sekali gus membuktikan masyarakat mulai sedar dan peka terhadap penyakit nombor satu dan juga pembunuh kaum wanita.

“Program sebegini turut memberi kesedaran kepada wanita dan juga lelaki mengenai bahaya kanser payudara, pemeriksaan awal perlu dilakukan agar sekiranya disahkan mengidapnya, boleh dapatkan rawatan awal manakala peluang untuk sembuh lebih cerah.

“Hasil sambutan yang baik ke atas pemeriksaan percuma ini, kita akan berusaha meneruskan program sama pada masa akan datang supaya lebih ramai berpeluang menikmati kemudahan seperti ini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.