MUADZAM SHAH - Seorang pelajar sekolah agama maut dalam satu kejadian kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan pacuan empat roda di Jalan Ladang Kosma, di sini.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari semalam, mangsa, Abdul Muslim Rafiuddin Mustafa, 16, yang merupakan pelajar Sekolah Agama Al-Hasanah Keratong 1, Bandar Tun Razak, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Muadzam Shah,  manakala pemandu pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Azli Mohd Noor, berkata, hasil siasatan awal dipercayai mangsa dalam perjalanan dari simpang Bukit Berembun menuju ke Ladang Gajah Jinak,   sementara pacuan empat roda dari arah bertentangan.

Keadaan motosikal mangsa.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian,  mangsa yang menunggang motosikal dipercayai hilang kawalan lalu merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di bahagian depan sebelah kanan.

"Kenderaan pacuan empat roda itu cuba mengelak ke sebelah kiri jalan tetapi gagal,  manakala penunggang motosikal tercampak dan jatuh di tengah jalan.

"Mangsa mengalamai kecederaan di kepala, kaki, muka dan tangan dibawa ke Hospital Muadzam Shah tetapi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini hari ini.

Azli berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.