BENTONG - Majikan di negara ini diminta memantau kemudahan dan keselesaan melibatkan asrama atau hostel pekerja.

Pengarah Penguat­kuasaan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Safian Hamzah berkata, beberapa aspek perlu pembaikan mem­babitkan fasiliti tersebut.

Menurutnya, usaha itu selaras dengan garis panduan minimum yang ditetapkan kementerian.

“Majikan perlu mengam­bil kira garis panduan penginapan pekerja seperti ditetapkan dengan spesifikasi dan kemudahan minimum yang mesti dipatuhi majikan.

“Kita minta majikan pantau kemudahan itu dari semasa ke semasa dengan menaiktaraf beberapa aspek berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas pemerik­saan hostel pekerja milik sebuah kilang di bandar Bentong.

Beliau ditemui selepas gerakan operasi penguat­kuasaan secara bersepadu Ops One Visit-Policy bersama agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) di Bentong, semalam.

Seramai 25 kakitangan daripada agensi JTKSM, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Pemba­ngunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan Cawangan Kawal Selia dan Penguatkuasaan KSM

Sementara itu, Safian memberitahu, sebanyak 149 majikan telah diperiksa membabitkan 10,000 pekerja sempena operasi itu tahun ini dan Pahang adalah negeri terakhir terlibat dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, selain Bentong, Temerloh antara lokasi yang menjadi perhatian jabatan berkenaan.

“Operasi ini bertujuan memastikan majikan di negara ini mematuhi perundangan dan tanggung­jawab manakala pekerja pula memahami hak-hak mereka.

“Selain memper­ting­katkan tahap pematuhan kita juga ada program pendidikan kepada majikan.

“Lainnya seperti nasihat dan cadangan supaya maji­kan dapat ambil tindakan wajar dalam tempoh tertentu untuk memperbaiki kelemahan jika ada,” katanya.