KUANTAN – Seorang tukang mesin rumput menerima padah apabila dijatuhkan hukuman penjara seminggu dan denda RM3,000, oleh Mahkamah Trafik Kuantan setelah didapati bersalah mencabul seorang wanita, dekat sini semalam.

Tertuduh, Mohd Razali Shamsudin, 29, dari Kampung Gudang Rasau, yang mengekalkan pengakuan bersalah didapati mencabul jirannya, yang berumur 30-an di dalam bilik di Kampung Gudang Rasau, lebih kurang jam 6.20 pagi, 25 April lepas.

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana antara dua hukuman itu.

Mengikut fakta kes, pada 25 April lepas tertuduh dengan sengaja mencabul pengadu dengan cara memegang buah dada tanpa kerelaan dan setelah membuat aduan polis, tertuduh ditangkap pada hari sama.

Terdahulu tertuduh sempat membuat rayuan agar hukumannya dikurangkan memandangkan hanya berpendapatan sekitar RM800 sebulan.

Bagaimana pun setelah didapati bersalah, Majistret Tuan Ruzuani Tuan Lah menjatuhkan hukuman penjara seminggu dari tarikh dijatuhi hukuman dan denda RM3,000, sekiranya gagal tertuduh dikenakan penjara tiga bulan. Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Muneswaran.

Sementara itu, seorang pekerja kilang dikenakan ikat jamin RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuantan, dekat sini, semalam selepas mengaku tidak bersalah mencabul kanak-kanak.

Tertuduh, Baharizun Bahudin, 39, didakwa melakukan kesalahan mencabul seorang kanak-kanak bawah umur, dengan cara memegang kemaluannya di rumah pekerja Kompleks Dominion Square Sdn Bhd, Lebih Raya Tunku Abdul Razak lebih kurang jam 2.45 petang, 18 Jun lepas.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan penjara 10 tahun atau denda atau sebatan dengan mana-mana seksaan, jika sabit kesalahan.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.