FELDA BUKIT PUCHONG – Masjid Ihsaniah Bukit Puchong hampir musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 6.55 petang semalam.

Penduduk berdekatan terkejut melihat kepulan asap keluar dari ruang solat masjid dan segera ke lokasi kejadian berusaha memadam api sebelum marak dan merebak ke seluruh bahagian masjid itu.

Difahamkan, penduduk menggunakan air kolah untuk memadamkan api yang bertumpu di kawasan rak al-Quran, bagaimanapun kebakaran dapat dikawal sebelum ketibaan jentera bomba.

Pengerusi Masjid, Yusof Hassan, 70 berkata, kejadian itu hanya disedarinya apabila sepasang suami isteri datang ke rumahnya memaklumkan perkara itu dan setibanya di masjid, orang ramai sedang berusaha memadamkan api.

“Saya memang terkejut dengan kejadian ini, kerana sejak ia dibina pada tahun 1972, inilah kali pertama kejadian seumpama ini berlaku.

“Berdasarkan penilaian awal, kerugian yang dialami dianggarkan bernilai lebih RM100,000, apabila hampir semua penghawa dingin, kipas, permadani, sejadah dan al-Quran dan juga siling di ruang solat musnah,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, suspek yang memulakan kebakaran ini sudah pun ditangkap pihak polis, dan dipercayai dilakukan oleh individu yang kurang sihat dari segi mental.

Yusof berkata, suspek yang didakwa mengaku menggunakan minyak petrol untuk memulakan kebakaran itu juga dilihat bergaduh dengan adiknya di pekarangan masjid ini kerana mahu menghalang tindakan suspek tersebut.

Menurutnya, pihaknya akan mencadangkan penggunaan Dewan Semai Bakti sebagai masjid sementara bagi urusan solat Jumaat dan aktiviti-aktiviti ibadah kepada pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (Muip) secepat mungkin memandangkan masjid ini tidak boleh digunakan berikutan faktor keselamatan kepada penduduk.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Khairul Ikman Mohamad berkata, walaupun kejadian itu mengejutkan penduduk, namun tindakan pantas mereka yang datang ke masjid pada ketika itu berjaya mengawal kebakaran sebelum pihak bomba tiba kira-kira jam 7.24 malam.

“Pada waktu itu (hampir Maghrib), kebanyakan penduduk sedang bersiap sedia untuk ke masjid menunaikan solat Maghrib berjemaah. Dan dalam situasi itu, masing-masing berksempatan untuk menolong memadamkan api.

“Walaupun menggunakan air kolah yang ada ini, Alhamdulillah… dapat memadamkan api tetapi semua barang dan al-Quran di rak itu tidak dapat diselamatkan. Semuanya hangus terbakar,” kata beliau.

Katanya, pihaknya berharap, pihak berkaitan dapat mengambil tindakan susulan secepat mungkin bagi membolehkan masjid ini dapat digunakan semula sama ada dinaiktaraf atau dibina semula berdasarkan keputusan siasatan pihak forensik bomba kelak.

Seorang penduduk, Ali Hassan, 44 memberitahu, lima minit sebelum kejadian, dia berada di belakang masjid tetapi ke kedai berdekatan untuk berehat seketika.

Tetapi, belum sempat menikmati minuman, ada rakannya memberitahu masjid terbakar.

“Saya memang tidak syak apa-apa semasa berada di belakang masjid ketika itu. Tiada perkara yang mencuriga. Tetapi, suspek ada membawa tong minyak petrol dan ditinggalkan di kawasan perkarangan masjid sebelum balik ke rumah.

“Apa yang penting, perkara ini dapat diselesaikan segera supaya penduduk di sini dapat menggunakan semula masjid ini, atau menyalurkan sebarang bentuk bantuan untuk memudahkan penduduk beribadah dan menunaikan solat Jumaat,” kata beliau.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Perasaan resah seorang pegawai imigresen kanan, sejak seminggu lalu rupanya petanda awal yang diterima sebelum rumah terbabit musnah dalam kebakaran Ahad lalu.
  • KOTA BHARU - Kejadian kebakaran di rumah kayu warga emas, Mohd Ismail Musa, 76, kira-kira jam 6.30 petang semalam menyebabkan dia menggelabah sehingga tidak menjumpai kunci kereta jenis Nissan Sunny yang berada di bahagian tepi rumah turut terbakar.
  • PORT DICKSON - Jumlah kes maut akibat kebakaran di negara ini mencatatkan peningkatan dengan merekodkan 122 kes dari Januari hingga semalam 17 November 2017 berbanding hanya 80 kes maut sepanjang tahun lalu.
  • JOHOR BAHRU - Empat rumah kedai di persimpangan Jalan Tanjung Labuh, Batu Pahat, dekat sini musnah sepenuhnya dalam kebakaran, pagi tadi.
  • SUNGAI PETANI - Seorang lelaki warga Indonesia yang melecur dalam kebakaran melibatkan empat buah rumah di Kampung Sungai Gelugor, Taman Petani Jaya, dekat sini, semalam, dilaporkan masih dalam keadaan koma.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.