KUANTAN – Bekas pekerja sebuah syarikat perlombongan bijih timah di Sungai Lembing kesal apabila majikan gagal menyelesaikan tunggakan gaji sebanyak RM102,723.97 selepas penutupan operasi sejak tahun 1994.

Difahamkan, seramai 13  bekas pekerja syarikat tersebut  mendakwa gaji mereka hanya dibayar separuh daripada jumlah sebenar iaitu RM450 sebulan yang sepatutnya diterima ketika itu.

Namun begitu, pada tahun 2004, syarikat tersebut pernah membuat pembayaran hanya RM2,000 untuk diagihkan kepada bekas pekerja yang terdesak.

Bekas pekerja Muda Man, 87, berkata, bilangan bekas pekerja yang menuntut baki gaji tertunggak semakin berkurangan tahun demi tahun.

Jelasnya, kini hanya tinggal lapan orang bekas pekerja manakala lima  lagi sudah meninggal dunia dan tidak sempat untuk menikmati gaji mereka yang bekerja siang dan malam.

“Selama bekerja di syarikat itu, gaji dibayar setiap bulan tanpa gagal tapi jumlahnya tak pernah cukup. Gaji kami hanya RM450 saja, tapi majikan membayar antara RM200 hingga RM300 dan lama-kelamaan tunggakan bertambah.

“Bagi kami yang masih ada ni, tunggakan tersebut amat bermakna kerana sikit sebanyak dapat bantu menampung kehidupan memandangkan kami dah makin tua dan tak mampu lagi bekerja.

“Bukanlah kami tak ada duit langsung, ada yang ditanggung anak-anak tapi gaji tertunggak itu adalah upah keringat yang dikeluarkan ketika bekerja kira-kira 25 tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian di Pejabat Tenaga Kerja (PKT), Wisma Persekutuan, di sini, kelmarin.

Wan Mohamed Wan Muda, 63, pula berkata, dia sedih apabila kes aduan permohonan pembayaran tunggakan yang dibuat di PTK sudah ditutup kerana didakwa tiada sebarang maklumat diperoleh dalam tempoh enam tahun.

“Sejak bekas majikan diarahkan buat bayaran tunggakan gaji, pembayaran dilakukan tiga kali sekitar tahun 2004 dan selepas itu senyap sampailah Adun Teruntum, Sim Chong Siang bantu kami buka semula kes ini untuk mengetahui status terkini.

“Berdasarkan penerangan PTK kepada kami, pihak mereka tak berjaya dapatkan maklumat daripada pegawai bertindak menyelesaikan aduan tersebut dan mereka juga gagal jejak bekas majikan disebabkan penutupan syarikat, pertukaran alamat dan banyak lagi.

“Kami tak salahkan pihak PTK seratus peratus sebab dulu mereka ada bantu, tapi pihak majikan yang tak bertanggungjawab menyelesaikan tunggakan gaji kami,” katanya.

Sementara itu, Chang Siong berkata, pihaknya berusaha untuk membantu bekas bekerja lombong tersebut.

“Kita akan merujuk kepada pihak guaman untuk mengetahui tindakan susulan yang boleh diambil sama ada membuka semula kes tersebut di mahkamah atau terdapat cara lain yang boleh diguna pakai,” katanya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KAMUNTING - Walaupun menetap di Kampung Paya Baru, di sini sejak lebih 70 tahun lalu, namun majoriti penduduk setempat masih kecewa dengan perkembangan pembangunan kampung tersebut susulan masalah kemudahan infrastruktur yang seperti tiada jalan penyelesaian.
  • BERUAS - Tidak selesa dan menjijikkan. Itu gambaran penduduk Kampung Padang Serai di sini, setelah hampir 10 tahun dibelenggu masalah lalat.
  • KUALA KURAU - Lebih 100 petani di kawasan Kuala Kurau dekat sini, bimbang aktiviti penanaman benih padi yang diusahakan sejak seminggu lalu terjejas akibat ditenggelami air selepas hujan lebat tiga hari lalu.
  • MALIM NAWAR - Penduduk sekitar diminta untuk saling bekerjasama mengingati antara satu sama lain untuk tidak ‘bergadai’ nyawa menceroboh landasan kereta api sebagai jalan pintas.
  • IPOH - Pembeli-pembeli rumah teres di Taman Chemor Setia Fasa 1, di sini, menggesa kerja-kerja pembinaan rumah berkenaan dapat disiapkan segera kerana telah terbengkalai sejak hampir sedekad.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.